BERITA TERKINI   Harga RON97 turun 20 sen seliter, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Nov - MoF | Kerajaan luluskan peruntukan lebih RM250 juta untuk memperkukuh pembangunan ECRL di Kelantan - MOF | Kanak-kanak lelaki enam tahun maut terjatuh dalam kolam takungan di Kulai, Johor - Bomba | Bayaran STR bagi pemohon baharu dan rayuan diluluskan dibuat mulai 16 Nov - MOF | Bayaran kepada penerima sedia ada STR dibuat secara berperingkat mulai 4 hingga 6 November 2026 -- MoF | 

DEFA Sedia Kurangi Kos Pengembangan, Tingkat Kerjasama Kreatif ASEAN, Kata Pakar

Oleh Nabilah Saleh and Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) mampu mengurangkan kos pengembangan serantau dan memudahkan perkongsian rentas sempadan untuk penerbit digital, pencipta kandungan serta perniagaan kecil Asia Tenggara, menurut pakar.

Pengasas Good News from Southeast Asia (Seasia) Akhyari Hananto berkata perjanjian itu boleh mengurangkan halangan melibatkan pembayaran rentas sempadan, pemindahan data, tandatangan elektronik dan pengenalan digital, menjadikan kerjasama serantau lebih menyenangkan.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, perbezaan dalam peraturan negara, percukaian, peraturan kandungan dan keperluan pendaftaran platform akan kekal, menghalang ASEAN daripada segera berfungsi sebagai pasaran digital tunggal.

"Jadi saya akan menyatakannya begini: Halangannya semakin kurang tetapi tidak hilang. Bagi pemain kecil yang tidak boleh mengupah peguam di sepuluh negara, merendahkan halangan ini sudah cukup banyak membantu," katanya kepada Bernama. 

DEFA, pakatan ekonomi digital utama seluruh rantau ASEAN, dijadualkan ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila akhir bulan ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Akhyari berkata DEFA boleh memanfaatkan penerbit digital dan pencipta kandungan yang mana, kepentingan mereka sering diketepikan oleh e-dagang dan fintech (teknologi kewangan), dengan menekankan bahawa tonggak utama perjanjian itu terletak pada memacu kerjasama kreatif serantau.

Beliau berkata pengiktirafan lebih besar terhadap kontrak dan tandatangan elektronik boleh memudahkan produksi bersama antara bilik berita Malaysia dan serantau, membolehkan penulis bebas dari Vietnam diupah selain bekerjasama dengan pencipta kandungan Thai.

Peraturan data rentas sempadan yang lebih jelas juga mampu memberi manfaat kepada penerbit yang bergantung pada analitik, perkhidmatan awan dan platform pengiklanan yang beroperasi di luar negara asal mereka.

Bagaimanapun, Akhyari berkata banyak perniagaan digital yang lebih kecil masih tidak biasa dengan perjanjian perdagangan, memetik pengalamannya mengendalikan program latihan dan bimbingan dengan beberapa organisasi serta universiti.

"Jadi jika ASEAN benar-benar bermaksud 'inklusif,' perlu ada langkah kedua. Panduan mudah, dalam bahasa tempatan, melalui komuniti, kampus, persatuan, orang yang boleh menerangkannya secara jelas,"  katanya.

Memandang ke hadapan, Akhyari berkata kejayaan DEFA dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun akan datang harus diukur dengan kos operasi rentas sempadan yang lebih rendah, pendapatan serantau yang lebih tinggi untuk perusahaan kecil dan lonjakan dalam perkongsian dalam kalangan perniagaan ASEAN.

";Pada asasnya, jika dalam tiga tahun penerbit atau pencipta kecil boleh berkata 'ya, kerja serantau lebih mudah sekarang' dan boleh menjelaskan sebabnya, maka ia sebenarnya telah berfungsi," katanya.

Menyuarakan sentimen ini, ahli ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata DEFA boleh mempercepatkan integrasi digital serantau dengan mengurangkan birokrasi pematuhan selain menurunkan kos kemasukan pasaran, walaupun perbezaan dalam peraturan domestik dan kematangan digital kekal menjadi halangan yang ketara.

DEFA boleh buat lebih banyak untuk perdagangan digital seperti yang dilakukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bagi pergerakan barangan dengan mengharmonikan pelbagai halangan pengawalseliaan, cukai dan tadbir urus data yang kini telah membebankan kos operasi di seluruh rantau ini.

"Sebagai contoh, syarikat perisian Malaysia yang berkembang ke lima pasaran ASEAN mungkin memerlukan semakan undang-undang yang berasingan, sistem pematuhan dan pemfailan peraturan di setiap negara.

"Ini menduplikasi kos yang sebaliknya boleh dilaburkan dalam inovasi dan pertumbuhan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pemecahan kawal selia boleh meningkatkan kos kemasukan pasaran sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus, memetik kajian mengenai beban peraturan yang berbeza di seluruh pasaran.

Barjoyai berkata rangka kerja yang lebih harmoni untuk perdagangan digital, aliran data dan pembayaran boleh mengurangkan halangan ini serta memberikan kepastian yang lebih besar untuk perniagaan, melonjakkan perdagangan digital dan daya saing serantau.

“Hasilnya ialah pasaran digital ASEAN yang lebih bersepadu yang mampu bersaing dengan China, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dalam sektor digital terpilih,” katanya.

Bagaimanapun, Barjoyai memberi amaran bahawa pelaksanaan juga menghadapi halangan besar seperti jurang dalam infrastruktur digital, kemahiran dan kesediaan perniagaan di seluruh ASEAN, serta kebimbangan kedaulatan yang berlarutan terhadap aliran data rentas sempadan dan tadbir urus digital.

"Kejayaan DEFA akan bergantung bukan sahaja pada pemeteraian perjanjian tetapi pada mewujudkan mekanisme pelaksanaan praktikal dan rangka kerja penyelesaian pertikaian," katanya lagi.

 

-- BERNAMA