Mandat Adunan SAF Satu Peratus Diselaraskan Ke 2030 - Noraini
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan mandat adunan bahan api penerbangan mampan (SAF) sebanyak satu peratus bagi penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dijadualkan bermula pada Januari 2027, diselaraskan ke tahun 2030.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penyelarasan itu bertujuan memberi ruang kepada industri penerbangan membuat persediaan dan menyesuaikan operasi masing-masing.
Beliau berkata langkah itu juga membolehkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membangunkan kerangka kawal selia yang bersesuaian bagi memastikan pelaksanaan mandat berkenaan berjalan dengan teratur dan berkesan.
Noraini berkata kerajaan mengambil maklum perkembangan geopolitik semasa yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global, khususnya peningkatan harga bahan api jet susulan konflik peperangan.
"Keadaan ini telah memberi cabaran kepada industri penerbangan dari segi peningkatan kos operasi dan tekanan kewangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penyelarasan itu dibuat hasil beberapa sesi perbincangan dan penelitian Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Kementerian Pengangkutan (MOT), selain sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi merancang pelaksanaan mandat berkenaan.
"KPK akan terus bekerjasama rapat dengan MOT, CAAM dan semua pemegang taruh industri bagi memastikan pembangunan ekosistem SAF negara kekal di landasan yang betul.
"Langkah ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang seimbang, iaitu terus memperkasa industri SAF negara sambil memastikan kelestarian industri penerbangan dan daya saing Malaysia terpelihara," katanya.
Noraini berkata Malaysia telah memasuki fasa pengeluaran komersial SAF menerusi operasi loji EcoCeres di Johor sejak Oktober 2025, dengan kapasiti berlesen sebanyak 420,000 tan metrik setahun.
Pada masa sama, loji biopenapisan PETRONAS-Enilive-Euglena di Pengerang, Johor dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028 dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 650,000 tan metrik setahun.
"Kedua-dua projek ini dijangka menyediakan kapasiti keseluruhan melebihi satu juta tan metrik setahun menjelang 2028, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran SAF serantau," katanya.
-- BERNAMA