BERITA TERKINI   Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | Prinsip, draf CSA Kerajaan MADANI sama seperti perjanjian yang dibuat pada 2021 - PM Anwar | Kerajaan tiada masalah dedah kandungan CSA antara Kerajaan MADANI dengan Bersatu dan Ahli Parlimen bebas - PM Anwar | Institusi pendidikan tinggi perlu hasilkan graduan tepati keperluan industri, pelabur antarabangsa - PM Anwar | 

OPR Kekal Pada Paras Semasa Wajar, Dasar Monetari Dijangka Kembali Normal Pada 2027

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus adalah wajar, mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan serta inflasi yang terkawal.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan kadar itu dinaikkan semula kepada paras sebelum penurunan tahun lepas, pada 2027, menurut ahli ekonomi.

Ad Banner
Ad Banner

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ekonomi Malaysia berkembang melebihi lima peratus, disokong oleh eksport yang kukuh susulan kitaran teknologi global serta permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Ini merupakan kedudukan yang agak selesa bagi mana-mana bank pusat,” katanya.

Innes berkata kemungkinan BNM menaikkan OPR kepada tiga peratus pada 2027 bagi mengembalikan kadar itu ke paras sebelum pemotongan tahun lepas tidak boleh diketepikan, khususnya sekiranya peningkatan kos tenaga dan makanan mula memberi kesan kepada harga pengguna secara lebih meluas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, beliau berkata penggubal dasar berkemungkinan tidak akan tergesa-gesa membuat pelarasan, memandangkan bank pusat juga akan menilai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selepas Disember.

“Saya tidak fikir kenyataan hari ini menunjukkan penggubal dasar mempunyai sebarang keperluan mendesak untuk bertindak.

"Mereka masih membuka ruang kepada pelbagai pilihan dan bukannya menetapkan kenaikan kadar sebagai langkah yang akan dilaksanakan,” katanya.

Mengenai ringgit, Innes berkata prestasi mata wang itu dalam tempoh terdekat lebih banyak dipengaruhi oleh pergerakan dolar AS dan hasil Perbendaharaan AS berbanding keputusan terkini BNM mengenai OPR.

“Pendirian BNM yang sedikit cenderung ke arah dasar monetari yang lebih agresif memberikan sokongan asas kepada mata wang itu.

"Namun, sekiranya hasil Perbendaharaan AS terus menurun dan harga minyak kekal di bawah tekanan, ringgit berpotensi mendapat sokongan tanpa perlu BNM mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Beliau menjangkakan BNM akan terus mengambil pendekatan berhati-hati sehingga awal 2027, sambil menyifatkan kemungkinan OPR kembali kepada tiga peratus bukannya permulaan kepada kitaran dasar monetari yang agresif.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh sepanjang tahun lepas memberikan asas yang munasabah untuk kadar kembali kepada paras sebelum penurunan tahun lepas. Bagaimanapun, komposisi pertumbuhan itu perlu turut dipertimbangkan.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi baru-baru ini banyak disokong oleh perdagangan elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh, namun keadaan itu tidak semestinya mendorong inflasi akibat peningkatan permintaan domestik.

Firdaos berkata permintaan luaran yang kukuh juga tidak semestinya mencetuskan inflasi dan keputusan mengekalkan OPR adalah wajar, manakala Belanjawan 2027 dijangka menyokong permintaan domestik pada tahun depan.

“Pertumbuhan ekonomi dijangka kekal sihat tetapi tidak semestinya berkembang terlalu pesat sehingga memerlukan kenaikan kadar,” katanya.

Mengenai jangkaan terhadap inflasi, beliau berkata sebahagian besar tekanan yang dijangka berpunca daripada faktor penawaran adalah di luar kawalan kerajaan dan BNM.

Beliau mengingatkan bahawa kenaikan kadar faedah sebagai tindak balas terhadap tekanan itu boleh terus membataskan pertumbuhan ekonomi.

Kenaikan kadar dalam keadaan sedemikian hanya akan terus menyekat pertumbuhan ekonomi, katanya.

BNM, juga katanya tidak seharusnya melaraskan kadar faedah semata-mata sebagai tindak balas terhadap peningkatan hasil bon, sebaliknya keputusan dasar monetari perlu mengambil kira keadaan permintaan domestik secara lebih menyeluruh dan berpandangan ke hadapan.

“Pengurusan permintaan memerlukan penilaian yang menyeluruh dan berpandangan ke hadapan dalam penetapan kadar, dan tidak seharusnya hanya bertindak balas terhadap petunjuk tertentu,” katanya.

BNM hari ini mengekalkan OPR pada 2.75 peratus selepas mengadakan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berdaya tahan, disokong oleh pelaburan teknologi global yang kukuh serta pasaran buruh yang stabil.

-- BERNAMA