BERITA TERKINI   Malaysia teliti kesan kekalahan parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal AS terhadap hubungan dua hala - PM Anwar | Malaysia, Singapura tingkatkan kuota teksi rentas sempadan kepada 500 buah setiap negara, tambah dua pengendali perkhidmatan e-panggilan bermula 16 Nov - MOT | UMNO telah selesaikan bayaran denda RM50 juta Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi KL pagi ini - Asyraf Wajdi | PRN Sarawak ke-13 ditetapkan pada 12 Dis, penamaan calon 28 Nov 2026 - SPR | PRN Sarawak ke-13: Undi awal pada 8 Dis - SPR | 

Bursa Malaysia Terus Catat Penurunan Pada Tengah Hari Didorong Sentimen Lemah

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia terus mencatatkan aliran penurunan pada tengah hari ini, seiring dengan penurunan di kebanyakan pasaran serantau berikutan aktiviti jualan di kaunter saham wajaran tinggi yang memberi impak kepada pasaran dalam sentimen lemah selepas kejatuhan Wall Street semalaman.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 22.01 mata atau 1.34 peratus kepada 1,613.85 daripada 1,635.86 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 15.31 mata kepada 1,620.55 dan bergerak antara 1,612.33 dan 1,620.55 sepanjang sesi dagangan.

Ad Banner
Ad Banner

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 963 berbanding 210 manakala 308 kaunter tidak berubah, 1,292 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.34 bilion unit bernilai RM1.73 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd memaklumkan Bursa Malaysia dijangka berdepan tekanan jualan, sejajar dengan prestasi Wall Street semalaman yang lemah berikutan pembetulan pada saham teknologi dan kebimbangan mengenai peraturan kecerdasan buatan (AI) yang menjejaskan sentimen pasaran serantau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, kenaikan semula FBM KLCI baru-baru ini juga mendorong aktiviti pengambilan untung selepas indeks itu mencapai paras tertinggi dalam tempoh enam minggu manakala langkah berhati-hati menjelang cuti perayaan Deepavali boleh membawa kepada pengurangan pegangan saham walaupun aliran masuk dana asing kembali meningkat.

“Sementara itu, sentimen pasaran yang kurang menggalakkan, ketidaktentuan mengenai prestasi pendapatan syarikat pada November, perkembangan politik domestik dan pelarasan portfolio menjelang peluasan FBM KLCI secara berperingkat daripada 30 kepada 50 konstituen berpotensi meningkatkan turun naik pasaran.

“Pendedahan Malaysia yang meningkat terhadap AI dan pusat data turut menyebabkan sentimen pasaran mudah terjejas oleh penilaian semula perbelanjaan modal global berkaitan AI, penelitian kawal selia yang lebih ketat di AS serta perubahan aliran pelaburan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara 30 konstituen FBM KLCI, 27 kaunter diniagakan rendah manakala satu dicatatkan tinggi dan dua lagi mendatar.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun 10 sen kepada RM10.06, Public Bank berkurangan tujuh sen kepada RM4.89, CIMB merosot lapan sen kepada RM7.07 dan Tenaga Nasional menyusut 18 sen kepada RM12.92 manakala IHH Healthcare naik satu sen kepada RM7.73.

Dalam dagangan aktif, Zetrix AI meningkat setengah sen kepada 6.5 sen, VS Industry merosot dua sen kepada 30 sen, Supermax berkurangan satu sen kepada 45.5 sen, Inari Amertron menyusut 14 sen kepada RM2.14 dan Nationgate menurun dua sen kepada RM1.85.

Kaunter paling untung ialah Fraser & Neave, meningkat RM1.02 kepada RM22.24, Hong Leong Industries naik 14 sen kepada RM16.74, Amway menambah 10 sen kepada RM4.08 dan Enra Group menokok lapan sen kepada 79 sen.

Kaunter paling rugi ialah MPI menurun RM2.68 kepada RM36.20, Nestle berkurangan RM1.70 kepada RM94.30, Mega Fortris merosot 49 sen kepada RM1.34, Kelington menyusut 23 sen kepada RM7.71 dan UWC menurun 28 sen kepada RM6.31.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 182.52 mata kepada 11,952.32 dan Indeks FBM Top 100 merosot 178.84 mata kepada 11,783.49.

Indeks FBM Mid 70 menurun 334.53 mata kepada 17,020.20, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 195.75 mata kepada 11,811.35 dan Indeks FBM ACE merosot 98.51 mata kepada 5,224.14.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menyusut 3.65 mata kepada 171.60, Indeks Tenaga menurun 12.77 mata kepada 793.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 200.85 mata kepada 18,928.07 dan Indeks Perladangan berkurangan 56.19 mata kepada 8,728.04.

-- BERNAMA