BERITA TERKINI   SPR bekerjasama dengan MCMC lindungi sistemnya daripada serangan siber - Pengerusi SPR | Sebanyak 273 kesalahan pilihan raya dilaporkan kepada pasukan pemantau SPR setakat semalam - Pengerusi SPR | PRN Melaka: 95 peratus pengundi awal disasarkan keluar mengundi hari ini - Pengerusi SPR | PRN Melaka: 53.25 peratus keluar mengundi awal setakat jam 10.35 pagi ini - Pengerusi SPR | PRN Melaka: 40.93 peratus pengundi awal keluar mengundi setakat 10 pagi - SPR | 

Scicom Sasar Pengembangan Antarabangsa Dengan Model Infrastruktur Sempadan GovTech

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Scicom (MSC) Bhd sedang memacu pengembangan teknologi kerajaan (GovTech) pada peringkat antarabangsa, memanfaatkan model pembiayaan awam-swasta yang bertujuan membantu kerajaan sesebuah negara memodenkan keselamatan sempadan tanpa memerlukan perbelanjaan modal awal yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Leo Ariyanayakam berkata syarikat sedang giat mendapatkan kontrak berkaitan teknologi pengurusan sempadan dan imigresen di pasaran antarabangsa utama di Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika.

Ad Banner
Ad Banner

“Teknologi pengurusan sempadan kami dirangka sebagai platform perusahaan yang menyeluruh. Ia meliputi kawalan imigresen, biometrik, dokumen perjalanan, pengeluaran visa dan permit, saringan awal penumpang, penguatkuasaan serta pengurusan kes, dengan penilaian risiko pengembara dibantu oleh kecerdasan buatan (AI) dan disepadukan dalam aliran kerja tersebut,” katanya kepada Bernama.

Selain keupayaan teknikal platform itu, Leo berkata kelebihan komersial utama Scicom terletak pada pendekatan pembiayaannya yang tersusun.

“Pelaksanaan teknologi sektor awam secara tradisional sering terhenti berikutan kekangan belanjawan, memerlukan kerajaan memperuntukkan modal yang besar pada peringkat awal. Model Scicom menukar pendekatan perolehan tradisional ini sepenuhnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Daripada menghendaki kerajaan membiayai seluruh pelaburan teknologi pada peringkat awal, kami boleh, jika sesuai, menawarkan model pembiayaan awam-swasta. 

“Dalam model ini, Scicom membiayai sebahagian besar, malah mungkin seluruh kos pembangunan awal dan mendapat pulangan melalui hasil berasaskan transaksi sepanjang tempoh konsesi,” katanya.

Bagi kerajaan yang berdepan kekangan modal, Leo berkata pemodenan sistem keselamatan sempadan boleh beralih daripada perbelanjaan awal yang besar kepada infrastruktur digital yang mampu membiayai operasinya sendiri.

Beliau berkata dari segi pendapatan kewangan, segmen GovTech syarikat kini merupakan penyumbang penting kepada perniagaan dan pendapatan Scicom selain berada pada kedudukan strategik untuk berkembang dengan pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

“Dari segi hala tuju, kami menjangka GovTech akan menjadi penyumbang yang lebih besar kepada Scicom untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Tarikannya bukan hanya terletak pada jumlah hasil yang dijana, malah pada kualiti dan tempoh aliran hasil tersebut,” katanya.

Leo berkata platform digital berasaskan konsesi berpotensi menjana pendapatan berulang atau pendapatan berasaskan transaksi untuk tempoh yang panjang.

“Ini merupakan perbezaan antara perniagaan perkhidmatan yang perlu membida semula kontrak setiap beberapa tahun dengan perniagaan infrastruktur yang terus berkembang,” katanya.

Leo turut mengakui bahawa pelaksanaan model ini memerlukan disiplin lembaran imbangan dan kesabaran korporat.

Katanya garis masa perolehan sektor awam masih panjang dan perbelanjaan modal perlu dibuat terlebih dahulu sebelum hasil dapat dijana.

Bagaimanapun, katanya Scicom bersedia untuk melaksanakan komitmen ini sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat menjelang 2030.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi sebanyak RM46.927 juta berbanding RM20.63 juta pada tahun kewangan 2025.

Perolehan turut meningkat kepada RM301.80 juta berbanding RM198.59 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, dengan aset bersih semasa sebanyak RM98 juta daripada 83.46 juta sebelum ini.

Disenaraikan di Bursa Malaysia pada September 2005, Scicom mempunyai 3,900 pekerja serta menawarkan penyelesaian pengalaman pelanggan dan transformasi digital yang dikuasakan oleh AI.

-- BERNAMA