BERITA TERKINI   PM Anwar umum bantuan tunai tambahan khas RM2,500 kepada Ketua Isi Rumah di Selangor, bayar mulai esok - PMO | Tiga lelaki maut dipercayai akibat disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang hari ini - Polis | 

Pelaburan AI Oleh Konsortium Diketuai Softbank Mencerminkan Keyakinan Global Terhadap Malaysia – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan oleh konsortium yang diterajui SoftBank dalam platform kecerdasan buatan (AI) di Malaysia mencerminkan keyakinan global terhadap potensi negara untuk membangunkan dan menggunakan AI.

Beliau berkata langkah itu turut menandakan pencapaian penting dalam transformasi digital negara dan menyokong hasrat Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.

"Saya mengalu-alukan pengumuman oleh konsortium yang diterajui SoftBank, termasuk Grab Holdings Ltd (Grab) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), untuk melabur dalam Platform Infrastruktur AI di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

“Kesediaan pelabur global seperti SoftBank dan Masayoshi Son untuk melabur di Malaysia mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan negara, iklim pelaburan dan kestabilan politik kita,” kata Anwar dalam hantaran di platform X hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Masayoshi Son dilaporkan memilih Kuching, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai lokasi untuk pelaburan infrastruktur AI bernilai US$50 bilion (US$1 = RM4.06).

Menurut Anwar, menggabungkan modal dan kepakaran SoftBank dengan keupayaan AI serantau Grab dan rekod prestasinya yang terbukti dalam penggunaan AI merentasi ekosistemnya akan meningkatkan infrastruktur AI dan daya saing global Malaysia dengan ketara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri berkata ketika Malaysia membangunkan infrastruktur AI, negara menjangkakan pelaburan digital yang berskala besar dapat menyokong matlamat kemampanannya. Projek itu juga perlu memenuhi keperluan yang ditetapkan di peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk yang berkaitan dengan penggunaan tenaga boleh baharu.

“Saya menjangkakan pelaburan ini mewujudkan peluang pekerjaan mahir untuk rakyat Malaysia dan membantu lebih ramai rakyat kita membina kepakaran dalam bidang AI.

“Ia juga seharusnya membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk membekalkan barangan dan perkhidmatan ketika Malaysia membangunkan keupayaan AI,” kata beliau.

Anwar menambah, kerajaan juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri yang berkaitan bagi memudah cara pelaksanaan projek yang dinanti-nantikan itu.

-- BERNAMA