Langkah Kerajaan, Kerjasama Rakyat Penting Tangani Tekanan Harga Bahan Api, Inflasi

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Langkah kerajaan untuk mengurangkan impak kenaikan harga bahan api global perlu disokong oleh kerjasama orang ramai dalam menguruskan penggunaan bahan api bagi meminimumkan tekanan inflasi dan melindungi kewangan isi rumah.

Ketua Ekonomi CGS International Securities Sdn Bhd Ahmad Nazmi Idrus berkata mekanisme subsidi bahan api bersasar kerajaan melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah mencapai matlamatnya dengan baik dalam melindungi pengguna daripada kesan inflasi yang lebih ketara dan mengekalkan kuasa beli isi rumah.

Ad Banner
Ad Banner

Walaupun kesan limpahan terhadap harga barangan dan perkhidmatan yang tidak ditadbir atau dikawal oleh kerajaan berterusan, katanya impak keseluruhan setakat ini adalah terkawal seperti yang dapat dilihat daripada prestasi Indeks Harga Pengguna (IHP) yang sederhana.

“Bagaimanapun, IHP meningkat berikutan kesan limpahan yang ketara dan cabarannya adalah bagaimana kerajaan menguruskan impak ini.

“Setakat ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan termasuk pengurangan cukai pendapatan individu, pemberian SARA sebanyak RM100 dan pelaksanaan gaji minimum bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan kos,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai kesediaan Malaysia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan tenaga global, Nazmi berkata negara telah mempelbagaikan sumber minyak mentah dan produk petroleum bertapis bagi memperkukuh jaminan bekalan.

“Berbanding tempoh sebelum perang Amerika Syarikat (AS)-Iran pada Mac, Malaysia telah mempelbagaikan sumber bekalan minyak mentah dan bahan api bertapis.

“Berdasarkan pengiraan kami, Malaysia kini telah mendapat bekalan minyak daripada sumber bukan tradisional termasuk Brazil, AS dan beberapa negara di rantau sub-Sahara Afrika,” katanya.

Beliau berkata kerjasama orang ramai melalui penggunaan petrol secara lebih berhemat, mengurangkan perjalanan yang tidak perlu serta mengamalkan langkah penjimatan bahan api dapat membantu menguruskan penggunaan bahan api dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan isi rumah serta ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya tingkah laku pengguna sebahagian besarnya dipengaruhi oleh harga dan insentif serta pelarasan lanjut terhadap subsidi bahan api mungkin diperlukan untuk menguruskan permintaan jika wujud kekangan bekalan.

“Sekiranya bekalan bahan api sekali lagi menjadi isu, pendekatan terbaik adalah mengurangkan semula peruntukan subsidi. Langkah itu mungkin tidak popular, tetapi berkesan,” katanya.

Mengenai pengurusan kewangan isi rumah dalam keadaan harga tenaga global tidak menentu, Nazmi menasihatkan pengguna untuk mengamalkan corak perbelanjaan yang lebih strategik, memperkukuh simpanan sebagai penampan kewangan dan mengurangkan beban hutang bagi menghadapi kemungkinan tekanan inflasi.

Beliau berkata harga minyak mentah mempunyai kaitan dengan harga komoditi lain, dengan kenaikan harga bahan api sering menyebabkan kos pengangkutan, elektrik dan makanan meningkat.

Katanya peningkatan kos ini berpotensi menjejaskan kuasa beli isi rumah dan menambah tekanan terhadap kos sara hidup secara keseluruhan.

“Dalam keadaan harga yang tidak menentu, pengguna perlu mengamalkan perbelanjaan secara strategik. Ini termasuk meningkatkan simpanan sebagai penampan kewangan, mengelak perbelanjaan yang tidak perlu dan mengurangkan beban hutang,” katanya.

Beliau berkata pengurusan kewangan secara berhemat dan mengutamakan perbelanjaan keperluan asas dapat membantu isi rumah membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh dalam menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup.

-- BERNAMA