BERITA TERKINI   Pelakon Cico Harahap meninggal dunia di Hospital Ampang 11 pagi tadi - Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia | Rakyat perlu tingkat tahap celik digital, benteng utama hadapi ancaman siber - Teo | 

Dari Motosikal Ke Reruai, Thirunavukkarasan Teruskan Legasi Bapa Dalam Perniagaan Makanan Tradisional

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bapanya menggunakan motosikal, legasi menjual makanan tradisional India itu kini menjadi sumber rezeki utama Thirunavukkarasan Krishnana, 52, selepas beliau mengambil alih perniagaan berkenaan susulan bapanya diserang strok pada 1990-an.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata bapanya yang ketika itu bekerja di Kelab Golf Diraja Selangor menjalankan perniagaan makanan secara sambilan bagi menambah pendapatan keluarga, bermula dengan menaiki motosikal sebelum beralih menggunakan van beberapa tahun kemudian.

Ad Banner
Ad Banner

Ketika bapanya diserang strok, Thirunavukkarasan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya. Keadaan itu memaksanya memikul tanggungjawab menyara keluarga, sekali gus mengubah perjalanan hidupnya.

Berbekalkan pengalaman membantu bapanya berniaga sejak di bangku sekolah, beliau nekad meneruskan perniagaan keluarga itu sambil berusaha menamatkan pengajiannya.

"Selepas kelas, saya terpaksa membawa lori pikap yang digunakan untuk menjual air tebu dan kelapa. Jadi, saya bawa lori itu sekali ke kolej. Selepas tamat kelas, saya terus ke pasar malam untuk berniaga.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Antara tempat saya berniaga adalah di Taman Ikan Emas, Cheras; Taman Muda, Ampang; Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan sekitar Kelana Jaya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai perniagaannya di Pasar Tani Kekal Putrajaya, dekat sini, baru-baru ini.

Perniagaan yang dahulunya dijalankan secara bergerak menggunakan lori pikap itu kini semakin berkembang, dengan menawarkan pelbagai juadah tradisional India di empat lokasi, termasuk Putrajaya, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), sebanyak empat kali seminggu.

Dengan bantuan isteri dan anak-anak, Thirunavukkarasan menawarkan pelbagai juadah tradisional India seperti wade, capati, thosai, apam lenggang dan muruku yang mendapat sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan pelanggan Melayu.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata sambutan positif terhadap perniagaannya didorong oleh penawaran makanan pada harga berpatutan tanpa mengabaikan kualiti, selain memastikan aspek halal sentiasa diberi perhatian.

 

Projek UMBI Perkukuh Perniagaan, Legasi Diteruskan

 

Mengulas penyertaannya dalam Projek UMBI, anak kelahiran ibu kota itu berkata perniagaannya mula mendapat perhatian lebih meluas selepas menyertai inisiatif berkenaan tahun lepas.

Projek UMBI merupakan inisiatif selama tiga tahun yang dilaksanakan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan sokongan The Coca-Cola Foundation, bagi membantu usahawan mikro memperkukuh asas pengurusan perniagaan untuk membina pendapatan yang lebih stabil dan konsisten.

Thirunavukkarasan berkata menerusi projek itu, beliau memperoleh pengetahuan mengenai proses mendapatkan pensijilan halal, penyediaan makanan halal serta pemahaman lebih mendalam mengenai konsep halal.

"Melalui Projek UMBI, perniagaan saya mendapat lebih banyak pendedahan kerana ia membawa pelanggan dari seluruh Malaysia, termasuk mereka yang sebelum ini tidak mengenali produk saya, untuk datang membeli, sekali gus meningkatkan jualan perniagaan saya," katanya.

Mengulas perancangan masa depannya, Thirunavukkarasan berhasrat mewariskan perniagaan keluarga itu kepada anak-anaknya bagi memastikan legasi yang dibina bapanya terus bertahan dan berkembang.

Bagaimanapun, beliau mahu anak-anaknya melengkapkan diri dengan ilmu dan pendidikan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk meneruskan perniagaan berkenaan.

"Namun, saya sentiasa berpesan kepada mereka sekiranya sukar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti, mereka sentiasa dialu-alukan untuk meneruskan legasi perniagaan ini," katanya.

Sempena sambutan Deepavali, kisah Thirunavukkarasan mencerminkan nilai pengorbanan, kegigihan dan kasih sayang terhadap keluarga yang menjadi asas dalam mempertahankan warisan turun-temurun, sekali gus memastikan makanan tradisional terus dinikmati oleh masyarakat berbilang kaum.

-- BERNAMA