Dagangan Bursa Malaysia Dijangka Dalam Julat 1,600 Hingga 1,630 Minggu Depan
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat 1,600-1,630 minggu depan dengan aktiviti pengumpulan saham secara selektif berkemungkinan memberikan sokongan pada paras yang lebih rendah, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.
Beliau berkata para pelabur akan memantau angka Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar Amerika Syarikat (AS) bagi bulan Oktober untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai inflasi serta prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Sementara itu, angka inflasi China bagi bulan Oktober yang akan diumumkan pada Isnin serta data pengeluaran perindustrian Malaysia bagi bulan September yang akan dikeluarkan pada Selasa, bakal memberikan gambaran lebih jelas mengenai keadaan ekonomi serantau.
"Walaupun situasi ketidaktentuan tidak boleh diketepikan, kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal agak stabil," katanya kepada Bernama.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI naik 0.98 mata kepada 1,616.58 daripada 1,615.60 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 96.26 mata kepada 11,965.47, Indeks FBM Top 100 berkurangan 65.41 mata kepada 11,798.45, Indeks FBM Emas Syariah susut 260.14 mata kepada 11,822.77, Indeks FBM ACE menguncup 163.67 mata kepada 5,240.24 dan Indeks FBM 70 turun 399.81 mata kepada 17,020.88.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga turun 57.30 mata kepada 794.86, Indeks Perladangan naik 28.94.66 mata kepada 8,726.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 7.02 mata kepada 171.35, bagaimanapun Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 409.07 mata kepada 18,957.06.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 15.49 bilion unit bernilai RM14.43 bilion berbanding 15.53 bilion unit bernilai RM9.97 bilion pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, di Pasaran Utama, jumlah dagangan menokok kepada 8.30 bilion saham bernilai RM13.08 bilion daripadam 5.13 bilion saham bernilai RM8.83 bilion pada minggu lepas sebelumnya.
Waran naik kepada 5.23 bilion unit bernilai RM600.74 juta daripada 3.99 bilion unit bernilai RM608.01 juta sebelum itu.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.95 bilion saham bernilai RM749.55 juta berbanding 2.07 bilion saham bernilai RM788.72 juta pada minggu lepas.
-- BERNAMA