Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniaga Berhati-hati Minggu Depan Menjelang Laporan MPOB

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan penggiat pasaran menunggu laporan bekalan dan penawaran minyak sawit bagi Oktober yang akan dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 November.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata laporan itu dijangka menunjukkan peningkatan stok simpanan untuk satu bulan lagi, dengan inventori minyak sawit Malaysia berpotensi menghampiri paras tertinggi yang pernah dicatatkan.

Ad Banner
Ad Banner

"Oleh itu, kami menjangkakan harga diniagakan dalam lingkungan RM4,200 hingga RM4,400 satu tan minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM dijangka diniagakan dalam jajaran RM4,150 hingga RM4,250 satu tan minggu depan, dengan aktiviti dagangan dijangka suram berikutan minggu dagangan lebih singkat susulan cuti umum Hari Deepavali pada Isnin.

"Kami menjangka berlaku sedikit pembetulan teknikal, dengan harga mungkin kekal dalam julat ini berikutan paras stok yang tinggi sebanyak 3.51 juta tan dan menjelang pengeluaran laporan MPOB bagi Oktober," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengenai permintaan fizikal, beliau berkata minat belian dari China dan Asia Barat adalah dijangkakan selain sebahagian permintaan dari India, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurut tinjauan Reuters, stok akhir minyak sawit Malaysia bagi Oktober dianggarkan meningkat 6.8 peratus kepada 3.75 juta tan daripada 3.51 juta tan pada September manakala pengeluaran dijangka naik 3.8 peratus kepada 2.20 juta tan daripada 2.12 juta tan.

Eksport diunjurkan meningkat 42.8 peratus kepada 1.60 juta tan daripada 1.12 juta tan manakala import dijangka berkurangan kepada 50,000 tan daripada 58,000 tan.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang beribu pejabat di Mumbai Anilkumar Bagani pula menganggarkan stok akhir minyak sawit Malaysia pada Oktober sebanyak 3.81 juta tan, meningkat 8.47 peratus berbanding 3.51 juta tan pada September.

Beliau berkata pengeluaran dijangka menokok 3.8 peratus dan eksport sebanyak 41 peratus manakala import dan penggunaan domestik juga diunjurkan meningkat.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan rendah, dipengaruhi oleh niaga hadapan minyak kacang soya yang lebih lemah serta kebimbangan terhadap inventori minyak sawit Malaysia yang mencecah paras tertinggi pernah dicatatkan, sekali gus terus menjejaskan sentimen pasaran dan mengehadkan minat belian.

Pada Jumaat, niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penyusutan apabila kontrak penanda aras Januari 2027 menurun di bawah paras RM4,300 satu tan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 susut RM400 kepada RM4,049 satu tan, Disember 2026 menurun RM441 kepada RM4,147 satu tan, Januari 2027 merosot RM423 kepada RM4,258 satu tan, Februari 2027 berkurangan RM405 kepada RM4,356 satu tan, Mac 2027 rendah RM389 kepada RM4,437 satu tan manakala April 2027 menyusut RM366 kepada RM4,497 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 512,442 lot daripada 363,163 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 332,934 kontrak pada Jumaat daripada 337,166 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan susut RM360 kepada RM4,100 satu tan.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 9 November sempena cuti gantian perayaan Deepavali.

-- BERNAMA