Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Lebih Rendah Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan, di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran global. 

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata logam berharga itu mungkin diniagakan antara US$3,975 dan US$4,175 setiap auns troy. 

Ad Banner
Ad Banner

“Harga minyak mentah terus kekal sebagai pemboleh ubah utama. Jika harga minyak mentah terus meningkat manakala ekuiti kekal tertekan, emas mungkin sukar untuk mengukuhkan kedudukannya. 

“Bagaimanapun, sekiranya kelemahan ekuiti mula mendorong kepada jangkaan Rizab Persekutuan AS yang kurang agresif, logam berharga itu mungkin akan menyaksikan kedatangan semula pembeli,” katanya kepada Bernama. 

Bagi asas mingguan, kontrak November 2026 meningkat kepada US$4,087.60 setiap auns troy daripada US$4,003.00, dan kontrak Disember 2026 mengukuh kepada US$4,103.20 setiap auns troy daripada US$4,017.90. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, kontrak Januari 2027, Februari 2027, April 2027 dan Jun 2027 menokok kepada US$4,104.30 setiap auns troy berbanding US$4,019 sebelumnya. 

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 591 lot berbanding 341 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 177 kontrak daripada 65. 

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,112.85 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 5 November 2026. 

-- BERNAMA