Malaysia Teliti Sasaran Dagangan D-8 Lebih US$500 Bilion Sebelum Dibawa Ke Kabinet - TPM Ahmad Zahid
Oleh Siti Nurhana Sharifah Binti Mat Nazir
ISTANBUL, 8 Nov (Bernama) -- Malaysia akan meneliti sasaran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) untuk meningkatkan perdagangan sesama negara anggota kepada lebih US$500 bilion (kira-kira RM2.03 trilion) menjelang 2030, sebelum membawa cadangan itu ke Jemaah Menteri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan membincangkan perkara itu terlebih dahulu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengenal pasti langkah yang boleh diambil Malaysia untuk membantu merealisasikan sasaran berkenaan.
Beliau berkata sasaran itu berpotensi dicapai menerusi langkah proaktif untuk meningkatkan perdagangan sesama negara anggota, sekali gus memanfaatkan kekuatan pasaran dan potensi ekonomi negara-negara berkenaan.
"Saya telah membincangkan perkara ini secara mendalam ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung D-8 Sohail Mahmood pada 6 Nov lepas dan akan mengemukakannya kepada Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri," katanya pada sidang media bersama media Malaysia sempena berakhirnya lawatan kerja empat hari beliau ke Turkiye hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai langkah menangani ketidakseimbangan perdagangan antara Malaysia dan Turkiye berikutan lebihan dagangan yang memihak kepada Malaysia.
Beliau berkata perkara itu turut dibangkitkan oleh pihak Turkiye yang meminta Malaysia meneroka peluang untuk meningkatkan import barangan dari negara berkenaan bagi mewujudkan imbangan perdagangan yang lebih seimbang.
D-8, yang ditubuhkan pada 1997, merupakan platform kerjasama ekonomi yang kini dianggotai sembilan negara, iaitu Azerbaijan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye. Azerbaijan menyertai pertubuhan itu pada 2025.
Pertubuhan itu secara rasmi ditubuhkan menerusi Deklarasi Istanbul pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan pada 15 Jun 1997.
Ahmad Zahid mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Turkiye hari ini, yang antara lain bertujuan memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Turkiye dalam bidang diplomatik, perdagangan, pertahanan dan pendidikan.
Lawatan dari 5 hingga 8 Nov itu turut menyaksikan penyertaan beliau dalam TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Centre (ICC) pada 6 Nov lepas. Forum itu menghimpunkan pemimpin politik, penggubal dasar dan ahli akademik dari seluruh dunia bagi membincangkan cabaran geopolitik serta perkembangan antarabangsa.
-- BERNAMA