Kos Pinjaman Tinggi, Kelulusan Ketat Akan Jadi Cabaran Utama Pasaran Hartanah Pada 2027 – JLL Malaysia
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kos tinggi pinjaman serta kelulusan yang lebih ketat dijangka memberi tekanan kepada pasaran hartanah kediaman di Malaysia pada 2027, memandangkan bank akan lebih berpilih dalam membiayai pembelian hartanah, demikian menurut JLL Malaysia.
Pengarah urusannya Jamie Tan berkata kemungkinan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), ditambah dengan amalan pemberian pinjaman yang lebih ketat, boleh menyukarkan bakal pembeli rumah untuk mendapatkan pembiayaan, terutamanya mereka yang sangat bergantung pada pinjaman perumahan dan gadai janji.
Beliau berkata sebarang kenaikan kadar faedah boleh menjejaskan segmen kediaman serta pasaran hartanah secara lebih meluas, memandangkan pembeli rumah bergantung pada pembiayaan gadai janji.
“Jika dilihat pada trend lepas, setiap kali kadar faedah meningkat, ia cenderung memberi kesan kepada segmen kediaman mahupun pasaran hartanah secara keseluruhan.
“Ini kerana pembeli rumah bergantung kepada pinjaman perumahan dan pembiayaan gadai janji untuk membeli rumah mereka,” katanya pada satu sidang media, di sini, hari ini.
-- BERNAMA