BERITA TERKINI   Memperkukuh pembaharuan struktur bukan satu pilihan namun merupakan keperluan bagi mencapai pertumbuhan mampan dan mewujudkan pekerjaan yang lebih baik -- Bank Dunia | Prospek ekonomi Malaysia bagi separuh kedua 2026 kekal positif, dengan permintaan domestik terus disokong oleh peningkatan guna tenaga, sokongan fiskal bersasar, serta aktiviti pelaburan yang berterusan -- Bank Dunia | Pelantikan ADUN Ayer Lanas Kamaruddin Mohd Noor sebagai Exco Kelantan tidak disambung berkuat kuasa 9 Nov - Timbalan MB | Hujan berterusan tahap waspada dijangka landa beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan Sabah sehingga esok - MetMalaysia | Keselamatan jalan raya perlu terus jadi agenda utama MOT tanpa mengira siapa yang menerajui kementerian itu - Loke | 

DEFA Berpotensi Jadikan Malaysia Sebagai Hab Ekonomi Digital Serantau - Ahli Ekonomi

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau dan memberi akses yang lebih mudah kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran ASEAN yang mempunyai lebih 680 juta pengguna, kata ahli ekonomi.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata rangkaian jalur lebar gentian optik negara yang meluas, penggunaan pembayaran digital yang meningkat dan kekuatan dalam bidang teknologi kewangan (fintech) Islam, perkhidmatan pengkomputeran awan dan reka bentuk semikonduktor meletakkan Malaysia pada kedudukan yang berpotensi meraih manfaat daripada perjanjian itu.

Ad Banner
Ad Banner

Katanya DEFA dapat memudahkan syarikat Malaysia berkembang ke seluruh ASEAN melalui penyelarasan peraturan berkaitan perdagangan digital, aliran data, pembayaran dan e-dagang yang lebih baik.

“DEFA bukan sekadar perjanjian perdagangan. Ia mencerminkan usaha ASEAN untuk membina pasaran bersama digital serantau.

“Bagi Malaysia, perjanjian ini membuka peluang kepada negara untuk beralih daripada hab pembuatan semata-mata kepada pengeksport utama untuk perkhidmatan digital, penyelesaian kecerdasan buatan (AI), inovasi fintech, kandungan kreatif dan keupayaan reka bentuk semikonduktor di seluruh Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sebagai contoh, Barjoyai berkata syarikat fintech Malaysia yang ingin menembusi pasaran Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina mungkin berdepan perbezaan dari segi peraturan pelesenan, perlindungan pengguna dan tadbir urus data di setiap pasaran.

Beliau berkata penyelarasan peraturan yang lebih baik dapat mengurangkan kos pematuhan, menjadikan pengembangan pada peringkat serantau lebih menjimatkan kos. 

“Dari segi ekonomi, ekonomi digital ASEAN diunjurkan lebih US$1 trilion menjelang 2030. Jika Malaysia menguasai walaupun 10 hingga 15 peratus daripada pertumbuhan perkhidmatan digital di rantau ini, eksport digital berpotensi menjadi antara sumber utama pertukaran asing negara, selepas pembuatan dan komoditi,” katanya.

DEFA, pakatan ekonomi digital komprehensif di rantau ini, dijadualkan ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila pada akhir bulan ini, merupakan pencapaian penting dalam integrasi digital blok serantau itu.

Rundingan perjanjian itu telah dimuktamadkan selepas pegawai kanan ekonomi ASEAN menyelesaikan semua isu yang tertangguh dalam mesyuarat pada 27 hingga 29 Mei di Manila.

Barjoyai berkata tahap kesediaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih tidak sekata, dengan banyak syarikat masih kekurangan kemahiran digital, keupayaan keselamatan siber dan kepakaran pemasaran rentas sempadan untuk memanfaatkan akses pasaran yang lebih luas.

Beliau menggesa kerajaan memperluas geran dan insentif untuk AI, pengkomputeran awan dan penggunaan perdagangan digital serta mewujudkan program bagi membantu PKS dan syarikat pemula niaga memasuki pasaran negara ASEAN yang lain.

Beliau turut menggesa hubungan antara sistem pembayaran ASEAN diperkukuh, peraturan berkaitan tadbir urus data, keselamatan siber dan identiti digital diselaraskan, selain lebih banyak latihan dalam AI, reka bentuk semikonduktor, keselamatan siber dan kejuruteraan perisian.

“Malaysia perlu bergerak melangkaui hanya pendigitalan perniagaan ke arah membina perusahaan digital yang mampu berkembang ke peringkat global,” katanya.

Barjoyai berkata ASEAN perlu menyasarkan pertumbuhan tahunan dua angka dalam perdagangan digital dalam kalangan negara anggota bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, selain membantu lebih banyak PKS memasarkan produk mereka secara dalam talian merentasi sempadan.

Beliau berkata pembayaran fi yang lebih rendah dan penyelesaian yang lebih cepat akan menjadi langkah praktikal untuk mengukur kemajuan.

“Jika dalam tempoh lima tahun, syarikat pemula niaga Malaysia boleh berkembang ke Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina semudah ia berkembang ke negeri lain di Malaysia, justeru, DEFA boleh dianggap sebagai kejayaan transformatif,” katanya.

Para pemimpin ASEAN akan berhimpun di Manila dari 15 hingga 17 November untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dengan Filipina sebagai tuan rumah di bawah tema kepengerusian 2026, ‘Navigating Our Future, Together’.

-- BERNAMA