Kitaran Pelaburan, Lebihan Luaran Sokong Pengukuhan Ringgit Pada 2027 – Ahli Ekonomi
Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kitaran pelaburan negara dan lebihan luaran dijangka memberi ruang kepada ringgit untuk mengukuh pada tahun depan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata kesinambungan dasar kerajaan mampu mengekalkan keyakinan pelabur meskipun aliran modal di rantau ini tidak menentu.
“Pelaburan dalam sektor semikonduktor, perkembangan pusat data dan permintaan domestik yang berdaya tahan menjadi asas kepada prospek ini. Julat dagangan asas yang saya jangkakan bagi 2027 ialah antara RM3.90 hingga RM4.11,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, kelemahan dolar AS dan penurunan hasil bon Amerika Syarikat (AS) berpotensi membawa ringgit ke paras RM3.90 berbanding dolar AS.
Shan turut mengunjurkan ekonomi negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar antara 5.3 peratus hingga 6.5 peratus tahun depan, mengatasi unjuran 4.8 peratus oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta unjuran pertumbuhan kerajaan antara 4.2 peratus hingga 5.2 peratus.
Pada pembukaan dagangan 11 Nov, ringgit diniagakan menghampiri paras RM4.05 berbanding dolar AS.
Beliau berkata, Malaysia mencatat pertumbuhan enam peratus pada suku kedua 2026, lebihan akaun semasa sebanyak RM10.8 bilion serta rizab antarabangsa berjumlah RM537 bilion pada akhir Jun.
“Harga minyak mentah Brent pada paras US$95 hingga US$110 setong akan meningkatkan pendapatan eksport tenaga, namun manfaat bersih kepada kedudukan fiskal bergantung pada rasionalisasi subsidi.
“Peningkatan kos subsidi bahan api menekankan kepentingan bantuan bersasar bagi mengekalkan ruang fiskal dan membendung tekanan perbelanjaan,” katanya.
Dalam kalangan negara ASEAN, beliau menjangkakan ringgit meningkat antara dua hingga tiga peratus dari segi nilai nominal berbanding setiap mata wang rupiah Indonesia, peso Filipina, baht Thailand dan dong Vietnam dari akhir 2026 hingga akhir 2027.
“Unjuran nilai relatif proprietari ini mencerminkan daya tahan luaran Malaysia, momentum pelaburan dan kebolehramalan dasar,” katanya.
Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Shan menjangkakan kemungkinan kenaikan sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2027 sekiranya tekanan inflasi asas berterusan.
Beliau berkata, keadaan inflasi semasa belum memerlukan pengetatan dasar monetari dalam masa terdekat. Bagaimanapun, kenaikan kadar faedah yang berasas dan mengambil kira perkembangan inflasi berpotensi mengukuhkan ringgit.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat terakhirnya pada 5 Nov.
-- BERNAMA