Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh jangkaan peningkatan harga dikongsi oleh penganalisis terkemuka pada persidangan minyak sawit di Indonesia minggu ini, kata seorang peniaga.

Pedagang Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata sentimen positif itu didorong terutamanya oleh jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah pada tahun depan akibat fenomena cuaca El Niño.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami melihat paras sokongan serta-merta sekitar RM4,350 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,500 setan metrik, dengan hala tuju pasaran berkemungkinan kekal sensitif terhadap minyak kacang soya, minyak mentah serta anggaran eksport terkini,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak November 2026 menambah RM12 kepada RM4,180 satu tan, Disember 2026 meningkat RM33 kepada RM4,326 setan dan Januari 2027 menokok RM22 kepada RM4,462 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 126,549 lot daripada 156,894 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 454,619 kontrak daripada 337,840 kontrak sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Harga MSM fizikal untuk November Selatan kekal tidak berubah pada RM4,200 setiap tan.

-- BERNAMA