FMM Gesa Pengilang Bina Daya Tahan Digital Susulan Gangguan Microsoft

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) menekankan bahawa transformasi digital mesti disertai dengan daya tahan digital susulan gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di peringkat global.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok, menggesa pihak pengilang untuk menyemak semula pergantungan mereka terhadap platform teknologi tertentu, mewujudkan saluran komunikasi alternatif, mengekalkan akses selamat kepada maklumat operasi yang penting serta membangunkan pelan kontingensi yang praktikal bagi memastikan kelangsungan operasi semasa berlaku gangguan perkhidmatan tidak dijangka.

“FMM menggesa pasukan teknologi maklumat (IT) dalam sektor pembuatan untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap perisian dan sistem legasi mereka. Gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang sedang berlaku merupakan peringatan tepat pada masanya mengenai kerentanan perniagaan yang semakin meningkat terhadap gangguan dalam infrastruktur digital kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Ad Banner
Ad Banner

Lee berkata infrastruktur usang serta aplikasi mesin yang tidak lagi disokong sering kali mewujudkan kekangan integrasi serius, kerentanan keselamatan, dan titik kegagalan tunggal sekiranya berlaku gangguan rangkaian atau awan yang lebih meluas.

Oleh itu, beliau berkata jabatan IT perlu menilai keserasian, status kemas kini dan mekanisme pengambilalihan tugas bagi sistem-sistem yang lama ini untuk mengelakkan ia menjejaskan kelangsungan operasi.

“FMM juga menggalakkan syarikat-syarikat untuk menjalankan latihan kelangsungan perniagaan secara berkala termasuk simulasi gangguan perkhidmatan awan, bagi mengenal pasti kerentanan dan memperkukuh kesediaan operasi mereka,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, beliau berkata FMM turut meminta penyedia perkhidmatan teknologi utama untuk memastikan komunikasi, kemas kini status jelas serta pengaturan pemulihan berkesan apabila berlaku gangguan yang menjejaskan perkhidmatan kritikal perniagaan.

-- BERNAMA