Metronomik, Pembangun Permainan Video Tempatan Impi Ketengah Budaya Asia Tenggara Ke Pasaran Dunia
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Susulan penglibatan dalam penghasilan judul permainan video yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Final Fantasy XV dan Street Fighter, pembangun dari Malaysia, Wan Hazmer Wan Abdul Halim dan Daim Dziauddin, mengorak langkah untuk menubuhkan sebuah studio yang mampu mengetengahkan budaya Asia Tenggara kepada para pemain di seluruh dunia.
Wan Hazmer, ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama Metronomik Sdn Bhd, berkhidmat selama lapan tahun di syarikat pembangun permainan video Jepun, Square Enix, sebagai ketua pereka permainan untuk Final Fantasy XV; manakala sepupunya, Daim, yang juga merupakan pengasas bersama dan pengarah kreatif studio tersebut pernah bekerja sebagai artis konsep untuk Street Fighter V serta ilustrator untuk Street Fighter IV.
Berbekalkan pengalaman mereka itu, kedua-duanya menubuhkan Metronomik pada Disember 2017 dengan visi bersama untuk menghasilkan permainan berasaskan muzik yang mampu menarik minat khalayak lebih luas, di samping memperkenalkan pengaruh budaya Malaysia dan Asia Tenggara kepada pemain di peringkat antarabangsa.
“Tujuan utama melakukan semua ini adalah untuk memastikan permainan kita terjual di seluruh dunia,” kata Wan Hazmer kepada Bernama semasa acara LEVEL UP KL 2026 baru-baru ini.
Beliau berkata pada masa depan studio tersebut juga mahu menerapkan identiti Asia Tenggara ke dalam permainan mereka bagi memberi peluang kepada audiens antarabangsa untuk lebih mengenali budaya rantau ini.
No Straight Roads Bawa Kreativiti Tempatan Ke Persada Global
Hasrat Metronomik itu mula direalisasikan melalui judul sulung mereka, No Straight Roads, permainan aksi-pengembaraan bertemakan muzik yang dilancarkan pada Ogos 2020.
Permainan tersebut, yang menggabungkan gaya permainan aksi-pengembaraan dengan pertarungan berirama serta pengalaman yang dipacu oleh runut bunyi, telah membantu memperkenalkan pendekatan kreatif studio itu kepada khalayak antarabangsa.
Metronomik kemudiannya melancarkan No Straight Roads: Encore Edition pada 2021, manakala kesinambungannya, No Straight Roads 2, sedang dibangunkan oleh studio tersebut dan diterbitkan oleh syarikat Jepun, Shueisha Games, dengan pelancarannya dijadualkan pada tahun ini.
Menurut portal permainan Gamer Matters, No Straight Roads berjaya menarik lebih daripada 500,000 pemain di seluruh dunia pada November 2024, yang melaporkan pencapaian tersebut susulan kehadiran Wan Hazmer di Indie Jam 2024 di Kuala Lumpur.
Angka tersebut merangkumi muat turun melalui perkhidmatan langganan seperti PlayStation Plus dan bukan hanya sekadar pembelian berbayar dan itulah sebabnya pencapaian tersebut dilaporkan berdasarkan jumlah pemain, dan bukannya jumlah salinan yang terjual.
Berdasarkan pecahan mengikut wilayah yang dipetik oleh portal tersebut, Amerika Syarikat dan Kanada merangkumi 42 peratus daripada pemainnya, diikuti Eropah dan Afrika sebanyak 35 peratus, manakala Asia Tenggara hanya mewakili lima peratus.
Sementara itu, Gamalytic, platform pihak ketiga yang menganggarkan jualan permainan di platform Steam, meletakkan angka jualan bagi No Straight Roads: Encore Edition pada sekitar 101,500 unit.
Bagi Metronomik, maklum balas tersebut menunjukkan bahawa sesebuah permainan yang menampilkan pengaruh budaya Malaysia dan Asia Tenggara mampu meraih audiens yang jauh melangkaui pasaran asalnya.
Wan Hazmer mengimbau kembali kenangan melihat pemain dari luar negara memberikan reaksi terhadap rujukan budaya tempatan semasa mereka menstrim permainan tersebut secara langsung.
“Pemain melaungkan ‘Ewah!’ semasa siaran langsung itu, walaupun mereka bukan rakyat Malaysia, jadi ya, saya rasa kita boleh lakukannya,” katanya.
Muzik, Permainan Video dan Identiti Budaya
Wan Hazmer berkata pendekatan Metronomik adalah untuk menjadikan muzik sebagai sebahagian penting daripada pengalaman permainan, dan bukannya sekadar menggunakannya sebagai hiburan latar.
Mereka ingin menghasilkan permainan berasaskan muzik tanpa mengehadkannya kepada pemain yang biasa dengan permainan ritma konvensional, sekali gus membolehkan khalayak yang lebih luas menikmati pengalaman tersebut.
Studio tersebut turut menerapkan sentuhan yang sama dalam karya seterusnya, Ondeh Ondeh Kaya’s Tasty Tale (Ondeh Ondeh), yang menggabungkan pengaruh budaya Asia Tenggara dengan latar fantasi.
Wan Hazmer berkata salah satu mekanik unik dalam permainan tersebut membolehkan pemain menyerap irama daripada persekitaran mereka dan menggunakannya untuk berinteraksi dengan persekitaran itu.
“Pada pendapat saya, itulah yang menjadikan permainan ini sangat unik, kerana ia membolehkan pengguna berinteraksi dengan muzik secara semula jadi tanpa mereka sedari; sebaliknya, mereka hanya menggunakan naluri,” katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut akan membolehkan pemain berinteraksi dengan muzik secara naluriah, tanpa memerlukan pengetahuan teknikal tentang muzik atau kemahiran khusus dalam permainan berirama.
Wan Hazmer berkata studio itu turut menggunakan pengalaman beliau sebelum ini dalam penghasilan Final Fantasy XV, yang mana makanan Malaysia seperti roti canai dan sate telah dimasukkan ke dalam permainan tersebut.
“Antara pengajaran paling penting yang saya pelajari dan apa yang sedang kami terapkan pada Ondeh-Ondeh ialah apabila anda ingin menyebarkan budaya, anda tidak boleh '’syok'’ sendiri,” katanya.
Beliau berkata elemen budaya perlu diterapkan terlebih dahulu ke dalam permainan yang menyeronokkan serta dikaitkan dengan tema universal, seperti kasih sayang dan keluarga, bagi menarik minat khalayak di luar komuniti asal mereka.
Ondeh Ondeh, yang dipertunjukkan di LEVEL UP KL 2026, dijadual untuk dilancarkan pada 2027 di platform Steam, PlayStation 5, Nintendo Switch 2, dan Xbox Series X/S.
Permainan ini juga telah memenangi tiga anugerah di SEA Game Awards 2026: Anugerah Juri Utama, Skor & Muzik Terbaik, serta Teknologi Terbaik.
Membina Perniagaan Melangkaui Sempadan Malaysia
Wan Hazmer berkata Metronomik mahu mengukuhkan capaian antarabangsanya melalui perkongsian dan bakat serantau, dan tidak semestinya dengan menubuhkan pejabat di luar negara.
Studio tersebut bekerjasama dengan IMBA Interactive yang berpangkalan di Singapura serta Tentu Synergy dari Malaysia, antara rakan kongsi lain, bagi membawa perspektif dan kepakaran serantau yang pelbagai ke dalam projeknya.
Beliau berkata sambutan terhadap No Straight Roads telah mengukuhkan keyakinannya bahawa elemen budaya Asia Tenggara mampu mendapat tempat dalam kalangan audiens antarabangsa, terutamanya dalam pasaran permainan global yang mana para pemain sudah terbiasa dengan latar yang diinspirasikan daripada tema zaman pertengahan dan fiksyen sains.
Di sebalik visi kreatif tersebut, Metronomik turut berdepan cabaran kewangan dan komersial dalam pembangunan permainan. Namun, sokongan pembiayaan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah membantu mengekalkan kelangsungan produksi serta membolehkan syarikat tersebut mengambil lebih ramai pekerja.
“Geran tersebut sangat membantu. Ondeh Ondeh bukanlah satu projek yang murah. Ia melibatkan ramai orang, rakan kongsi dan pasukan kami. Kini terdapat kira-kira 28 orang dalam pasukan kami, jadi geran itu sangat membantu dalam memastikan keperluan hidup mereka semua dapat dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata sokongan tersebut juga telah membolehkan syarikat itu mengambil pekerja, sekali gus menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekosistem permainan tempatan yang lebih luas.
Bagaimanapun, Wan Hazmer berkata pembiayaan semata-mata tidak dapat menjamin kejayaan komersial dan mengenal pasti dua cabaran utama bagi pembangun permainan Malaysia iaitu memasarkan produk mereka secara berkesan di pasaran antarabangsa dan mendapatkan akses kepada penerbit di luar negara.
Beliau berkata penerbit yang telah mantap mampu menyediakan akses kepada rangkaian pengedaran antarabangsa, saluran peruncitan, serta pengetahuan pasaran yang mungkin sukar diperoleh oleh pembangun tempatan secara bersendirian, terutamanya memandangkan jumlah penerbit permainan yang telah berdiri teguh di Malaysia agak terhad.
Walaupun cabaran ini, beliau berkata industri tersebut sedang bergerak ke arah hala tuju yang betul, dengan inisiatif MDEC serta LEVEL UP KL membantu studio Malaysia berhubung dengan syarika antarabangsa dan profesional industri.
Membina Masa Depan Berteraskan Kebanggaan Budaya
Pada masa depan, Wan Hazmer berharap permainan terbitan Metronomik akan dapat menggalakkan pemain antarabangsa untuk mempelajari lebih lanjut tentang Asia Tenggara, di samping memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia serta pembangun permainan lain di rantau ini agar berbangga dengan identiti budaya mereka.
“Bagi rakyat Malaysia, saya berharap permainan ini dan juga permainan kami pada masa akan datang akan membuatkan anda berbangga dengan budaya kita sendiri,” katanya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pemain dari luar rantau ini yang menikmati permainan terbitan Metronomik akan berasa ingin tahu tentang budaya serta pengaruh seni di sebaliknya, yang mungkin mendorong mereka untuk meneroka Asia Tenggara di luar dunia maya.
Wan Hazmer berkata pembangun perlu mengimbangi keaslian budaya dengan tema universal serta pengalaman permainan yang menarik, bagi menjalin hubungan dengan khalayak di luar pasaran asal mereka.
"Walaupun identiti budaya boleh membezakan sesebuah permainan daripada pesaingnya, pengalaman permainan itu sendiri perlulah cukup menyeronokkan untuk mengekalkan minat para pemain,” katanya.
Metronomik menyasar untuk membina perniagaan pembangunan permainan video yang mampan, di samping mewujudkan peluang bagi bakat serantau serta membuktikan bahawa kisah dan perspektif kreatif dari Asia Tenggara mampu mendapat tempat dalam industri permainan global.
-- BERNAMA