Malaysia Mahu APEC Kekal Platform Perdagangan Terbuka, Berasaskan Peraturan - Duta Besar
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
SHENZHEN (China), 16 Nov (Bernama) -- Malaysia mahu Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) terus memainkan peranan dalam memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, telus, inklusif dan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad berkata perkara itu semakin penting dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, sekali gus memerlukan kerjasama antarabangsa yang lebih stabil bagi memastikan perdagangan dan pelaburan terus berkembang.
Beliau berkata Malaysia berharap APEC dapat memperkukuh institusi perdagangan dan kewangan serta memastikan ekonomi anggotanya tidak mengambil langkah perlindungan perdagangan yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global.
"Apa yang kita perlukan sekarang ialah satu rangka kerjasama antarabangsa yang lebih stabil. Seperti yang kita ketahui, keadaan dunia sekarang berada dalam situasi yang tidak menentu dan boleh berubah secara tiba-tiba.
"Kita berharap melalui APEC, kita dapat kembali kepada satu sistem yang memperkukuh institusi kewangan dan perdagangan menerusi hubungan berasaskan peraturan," katanya pada taklimat media secara dalam talian menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33.
Norman berkata Malaysia turut berpandangan bahawa isu bukan perdagangan dan bukan ekonomi tidak seharusnya mengalihkan perhatian APEC daripada tujuan asalnya sebagai forum kerjasama ekonomi serantau.
Katanya, kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan masa depan juga semakin bergantung kepada keupayaan negara memanfaatkan perkembangan baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), logistik dan kesalinghubungan, selain memastikan pematuhan terhadap peraturan perdagangan antarabangsa.
"Kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, kemakmuran dan perkembangan ekonomi bergantung kepada dunia baharu ini, termasuk AI, logistik, kesalinghubungan dan juga pematuhan kepada peraturan antarabangsa seperti yang kita ada sebelum ini di bawah WTO," katanya.
Sehubungan itu, Malaysia menggariskan tujuh bidang keutamaan yang perlu terus diberi perhatian APEC, antaranya memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memudah cara perdagangan dan pelaburan serta meningkatkan kesalinghubungan dan daya tahan rantaian bekalan.
Keutamaan lain termasuk memanfaatkan pendigitalan dan AI sebagai pemacu produktiviti dan pertumbuhan melalui penggunaan teknologi yang selamat dan bertanggungjawab, selain merapatkan jurang digital serta membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat daripada transformasi teknologi.
Malaysia turut mahu APEC terus menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif dengan mengambil kira tahap pembangunan serta keupayaan berbeza setiap ekonomi anggota, di samping mengekalkan prinsip konsensus, kesukarelaan dan tidak mengikat dalam kerjasama forum itu.
Norman berkata usaha memperkukuh kerjasama serantau juga perlu disokong program pembangunan kapasiti APEC bagi merapatkan jurang pembangunan antara ekonomi anggota.
Beliau berkata Malaysia melihat APEC sebagai platform penting untuk ekonomi Asia-Pasifik bertukar pandangan mengenai perdagangan, pemudahcaraan perdagangan, pelaburan dan isu-isu serantau serta global.
Sejak 2006, Malaysia telah mendapat manfaat daripada 116 projek yang dibiayai APEC dengan nilai kelulusan US$12.8 juta, selain melaksanakan 29 projek yang dibiayai sendiri bernilai US$800,000.
Dalam pada itu, lebih 405,000 pengguna, termasuk 20,221 rakyat Malaysia, mendapat manfaat daripada kemudahan Kad Perjalanan Perniagaan APEC (ABTC) yang memudahkan perjalanan perniagaan dalam kalangan ekonomi anggota.
Norman berkata ekonomi APEC merupakan rakan dagang utama Malaysia, menyumbang 79.7 peratus atau RM2.43 trilion daripada jumlah perdagangan negara pada 2025.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke ekonomi APEC berjumlah RM1.28 trilion, manakala import mencecah RM1.15 trilion.
Ekonomi APEC turut menyumbang RM153.47 bilion atau 74 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan merentasi semua sektor di Malaysia.
Beliau berkata Malaysia juga berharap program pembangunan kapasiti APEC terus memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi anggota merapatkan jurang pembangunan dan mencapai aspirasi Visi Putrajaya APEC 2040 untuk membentuk komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040.
Mengulas hala tuju mesyuarat kali ini, Norman berkata Malaysia akan terus bekerjasama secara konstruktif dengan China dan ekonomi APEC lain bagi mencapai hasil yang bermakna serta berasaskan konsensus, selaras dengan keperluan ekonomi serantau yang sentiasa berkembang.
Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 akan berlangsung di Shenzhen pada 18 dan 19 Nov ini.
-- BERNAMA