BNM Tetapkan Rangka Kerja Kawal Selia Kewangan Terbuka

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini telah mengeluarkan dokumen dasar yang mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk kewangan terbuka bagi memudahkan perkongsian maklumat pelanggan berdasarkan persetujuan dalam sektor kewangan dengan cara yang selamat, terbuka, boleh diakses, saling beroperasi dan tepat pada masanya.

Bank pusat itu melalui satu kenyataan menggariskan beberapa keperluan dan jangkaan, termasuk skop penyertaan serta maklumat pelanggan untuk dikongsi, selain garis masa pelaksanaan bagi penyertaan yang dimandatkan dan perkongsian maklumat pelanggan.

Ia juga menetapkan keperluan untuk mengurus persetujuan pelanggan, termasuk mendapatkan, memantau, memperbaharui dan membatalkan persetujuan, di samping perlindungan serta kawalan untuk melindungi maklumat pelanggan.

Ad Banner
Ad Banner

Rangka kerja ini juga menangani pengurusan teknologi dan risiko keselamatan siber yang berkaitan dengan kewangan terbuka.

"Kewangan terbuka memberi pelanggan lebih kawalan ke atas cara maklumat kewangan mereka dikongsi melalui parameter persetujuan yang jelas, disokong oleh rangka kerja yang lebih selamat dan piawaian untuk perkongsian data.

"BNM akan terus menetapkan keperluan kawal selia yang jelas dalam memastikan perkongsian sedemikian kekal selamat dan bertanggungjawab," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dokumen dasar kewangan terbuka BNM boleh didapati di laman web bank pusat.

-- BERNAMA