Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Menjelang Pengumuman KDNK Suku Ketiga

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi and Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu ketika pelabur menantikan pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 pada tengah hari ini.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0910/0965 berbanding dolar AS daripada 4.0915/0960 semasa ditutup pada Selasa.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata tumpuan pasaran akan tertumpu sepenuhnya kepada pengumuman KDNK, dengan pertumbuhan yang mengatasi jangkaan dijangka menyokong ringgit.

Mengenai perkembangan luaran, katanya Indeks Dolar AS kekal tinggi pada 103.550 mata berikutan pasaran terus menilai pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) berkaitan kadar faedah dan implikasinya menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Disember.

“Kebimbangan mengenai sekatan terhadap pemilikan mikrocip buatan AS dalam sektor teknologi turut dijangka mempengaruhi sentimen pasaran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5647/5683 daripada 2.5736/5766 semasa ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.4968/5029 daripada 4.5007/5056.

Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding pound kepada 5.4018/4090 daripada 5.3991/4051.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1745/1793 daripada 3.1759/1796 dan baht Thailand kepada 12.0892/1166 daripada 12.1014/1201 sebelum ini.

Ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 224.1/224.4 dan peso Filipina kepada 6.42/6.43.

-- BERNAMA