Buildathon MyDIGITAL Corporation Perkasakan Rakyat Malaysia Bina Penyelesaian Dikuasakan AI
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- MyDIGITAL Corporation memperkasakan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang teknikal untuk membangunkan aplikasi dan penyelesaian yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) bagi menyelesaikan masalah seharian menerusi program Rakyat Digital Buildathon.
Pengarah Penerimagunaan Digital, Pejabat Pengurusan Perubahan MyDIGITAL Corporation Saiful Azlan Ismail berkata program itu diwujudkan untuk menggalakkan rakyat Malaysia supaya tidak sekadar menggunakan AI bagi tugasan asas, malah meneroka potensinya untuk membangunkan aplikasi, perkhidmatan dan produk yang boleh memberi manfaat kepada individu, perniagaan serta komuniti.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Rakyat Digital yang lebih menyeluruh di bawah Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Ke Arah Negara AI (MD2030) oleh MyDIGITAL Corporation, yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam, akses dan penerimagunaan teknologi digital dan AI,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau menekankan bahawa inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Negara AI 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bertujuan menggalakkan penerimagunaan AI secara beretika dalam semua aspek kehidupan, meletakkan Malaysia sebagai pengeksport produk dan perkhidmatan digital serantau serta membangunkan produk dan perkhidmatan berteraskan aspirasi Made by Malaysia.
Program selama tiga hari yang merangkumi sesi pembangunan intensif selama dua setengah jam hingga tiga jam, diadakan bersempena Smart Nation Expo 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menerusi program itu, peserta yang mempunyai pengetahuan yang terhad atau tiada pengetahuan mengenai AI berpeluang mempelajari kaedah membangunkan produk yang boleh digunakan.
“Buildathon merupakan program pertama yang saya harap akan disusuli dengan banyak lagi program seumpamanya pada masa akan datang, yang menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur untuk mempelajari cara menggunakan AI bagi membangunkan produk,” katanya.
“Jika anda tiada pengetahuan dalam menggunakan AI untuk membangunkan sesuatu, di sinilah anda akan mempelajarinya. Matlamatnya ialah, pada akhir sesi selama tiga jam itu, anda dapat menghasilkan produk yang boleh digunakan,” katanya.
Bagi program kali ini, Saiful Azlan berkata pasukannya telah mengenal pasti antara 36 hingga 40 idea atau pernyataan masalah untuk dibangunkan sebagai penyelesaian oleh peserta atau mereka boleh mengemukakan idea atau mengenal pasti masalah sendiri.
Peserta juga tidak memerlukan pengalaman terdahulu dalam pengekodan berikutan mereka boleh menggunakan platform AI seperti Ilmu Code, Claude, Gemini dan ChatGPT untuk membangunkan aplikasi hanya dengan memberikan arahan melalui prompt.
Peserta yang menyertai program itu akan mendapat akses percuma kepada ILMUCode selama sebulan, yang boleh digunakan selepas program berakhir bagi meneruskan pembangunan penyelesaian masing-masing.
Mengenai pencapaian yang dijangkakan daripada program itu, beliau berkata MyDIGITAL Corporation berharap dapat menilai jumlah produk yang mampu dibangunkan oleh peserta dalam sesi selama dua setengah jam itu, dengan menjangkakan mereka dapat menghasilkan aplikasi asas boleh kongsi.
“Aspirasi jangka panjang adalah untuk mengenal pasti peluang berpotensi bagi penubuhan syarikat pemula niaga serta idea inovatif yang boleh menangani cabaran harian yang dihadapi rakyat Malaysia, termasuk masalah yang mungkin belum berpeluang ditangani oleh syarikat sedia ada atau agensi kerajaan,” kata Saiful Azlan.
MyDIGITAL Corporation juga berhasrat memperluas hab Rakyat Builders kepada lebih banyak negeri bagi memastikan penyertaan yang lebih menyeluruh, bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur selain melaksanakan pendekatan yang lebih bersasar dengan memperkenalkan pernyataan masalah khusus daripada kerajaan dan pemain industri.
Beliau berkata pendaftaran menerusi platform hab Rakyat Builders merekodkan negeri asal setiap peserta, sekali gus membolehkan MyDIGITAL Corporation memetakan taburan minat dan bakat dalam pembangunan AI di seluruh negara.
“Data ini juga penting kepada kita sebagai sebuah negara bagi membolehkan kita mengenal pasti lokasi yang menunjukkan minat serta mengesan bakat dalam bidang ini,” kata Saiful Azlan.
MyDIGITAL Corporation adalah rakan strategik Smart Nation Expo 2026 yang diadakan dari 17 hingga 19 November, yang menonjolkan kemajuan negara ke arah menjadi Negara AI menjelang 2030, termasuk penerapan teknologi digital dan AI dalam perkhidmatan kerajaan, perniagaan, pembangunan bakat dan kehidupan seharian.
Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut atau menyertai acara itu boleh mendaftar menerusi hab Rakyat Builders di https://rakyatdigital.gov.my/rakyat-builders.
-- BERNAMA