MR DIY Catat Untung Bersih Suku Ketiga Lebih Rendah Kepada RM127.34 Juta
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- MR DIY Group (M) Bhd (MR DIY) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM127.34 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 (S3 TK2026) berbanding RM136.12 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas di tengah-tengah perbelanjaan yang lebih tinggi.
Perolehan meningkat sebanyak 4.8 peratus kepada RM1.25 bilion bagi suku tersebut berbanding RM1.19 bilion sebelumnya, didorong oleh pengembangan rangkaian yang berterusan kepada 1,641 cawangan, iaitu naik 7.4 peratus daripada 1,528 cawangan setahun sebelumnya.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, peruncit kelengkapan rumah itu menyatakan bahawa keuntungan bersih kumpulan itu bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 merosot kepada RM453.77 juta berbanding RM468.84 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, perolehan meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM3.88 bilion daripada RM3.66 bilion sebelumnya, disokong oleh jumlah transaksi yang lebih tinggi dan rangkaian kedai yang lebih meluas.
Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.3 sen sesaham bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, berjumlah RM123.20 juta, sekali gus menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan bagi tempoh sembilan bulan itu kepada RM587.6 juta.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY Adrian Ong berkata aplikasi MR DIY Club telah menarik lebih 1.2 juta pelanggan sejak dilancarkan pada Julai, yang mencerminkan daya tarikan berterusan jenama tersebut dan manfaat program kesetiaannya.
“Berbekalkan janji ‘Harga Sentiasa Rendah’, kami terus memperkenalkan konsep baharu, mengemas kini rangkaian produk kami dan mewujudkan pengalaman yang menarik kepada pelanggan.
“Selain lokasi kedai yang strategik dan mudah dikunjungi, usaha ini memberikan lebih banyak alasan kepada rakyat Malaysia untuk membeli-belah bersama kami.
“Kami kekal fokus terhadap pertumbuhan yang berdisiplin, peruntukan modal yang berhemah dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya.
-- BERNAMA