AirAsia Group Catat Kerugian Bersih Suku Ketiga RM175.11 Juta Akibat Kenaikan Harga Bahan Api Jet
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- AirAsia Group Bhd mencatatkan kerugian bersih RM175.11 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026 terutamanya disebabkan harga bahan api jet yang lebih tinggi akibat ketegangan geopolitik yang meningkat susulan konflik di Asia Barat.
Hasil pula berjumlah RM4.66 bilion yang disumbangkan oleh RM3.83 bilion daripada penerbangan berjadual dan RM700.22 juta daripada hasil sampingan, menurut kumpulan syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
AirAsia menjelaskan bahawa tiada angka perbandingan tahun ke tahun yang dibentangkan susulan pengambilalihan berbalik oleh AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL).
“AAAGL sebagai sebuah syarikat sendirian berhad yang tidak disenaraikan, tidak diwajibkan dan tidak menyediakan sebarang penyata kewangan interim sebelum pengambilalihan berbalik itu,” tambahnya.
Kumpulan itu turut mencatatkan kerugian bersih pertukaran asing sebanyak RM142 juta pada suku ketiga 2026 berikutan penyusutan nilai mata wang tempatan, termasuk ringgit, baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina, berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM629.37 juta bagi suku berkenaan.
AirAsia memaklumkan syarikat itu membawa 12.58 juta penumpang sepanjang suku berkenaan dengan faktor muatan sebanyak 80 peratus, manakala kira-kira 31 peratus daripada armada pesawatnya tidak beroperasi pada akhir September, menjadikan 162 pesawat masih dalam perkhidmatan.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2026, syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM857.16 juta dengan hasil pula berjumlah RM15.69 bilion.
Mengenai prospek, walaupun harga bahan api jet global susut sejak beberapa minggu kebelakangan ini, purata kos bahan api bagi suku terakhir 2026 dijangka masih tinggi berbanding suku ketiga, menurut AirAsia.
“Pada masa yang sama, ketidaktentuan geopolitik yang berterusan telah mengubah kecenderungan pengembara ke arah perjalanan jarak dekat dalam rantau ini, sekali gus memberi kelebihan kepada kekuatan rangkaian teras kumpulan di ASEAN.
“Memasuki tempoh perjalanan akhir tahun yang lazimnya mencatatkan permintaan kukuh, ia memberikan imbangan yang tepat pada masanya ke atas kos input yang lebih tinggi, membolehkan kumpulan beralih daripada langkah defensif mengurangkan kapasiti kepada pendekatan pertumbuhan yang lebih bersasar dan berdisiplin dari segi hasil,” tambahnya.
-- BERNAMA