Keuntungan Bersih KSL Suku Ketiga Meningkat 3.0 Peratus Kepada RM104.94 Juta
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih KSL Holdings Bhd meningkat 3.0 peratus kepada RM104.94 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2026, berbanding RM101.86 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil kumpulan turut meningkat 14.5 peratus kepada RM405.91 juta daripada RM354.60 juta sebelumnya, menurut pemaju hartanah yang berpangkalan di Johor itu.
“Pertumbuhan hasil disokong oleh peningkatan 16.6 peratus tahun ke tahun dalam hasil pembangunan hartanah kepada RM337.1 juta, selain kenaikan 5.0 peratus dalam hasil pelaburan hartanah kepada RM68.4 juta,” menurut syarikat itu.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, KSL mencatatkan peningkatan keuntungan bersih 6.9 peratus kepada RM285.97 juta berbanding RM267.61 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Hasil kumpulan bagi tempoh itu turut meningkat 11.2 peratus kepada RM1.07 bilion daripada RM965.8 juta setahun lepas.
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu memaklumkan pertumbuhan hasil yang kukuh disokong oleh peningkatan pengebilan berperingkat daripada segmen pembangunan hartanah, yang mencatatkan pertumbuhan hasil 14.7 peratus tahun ke tahun kepada RM876.0 juta.
Segmen pelaburan hartanah pula terus menyumbang RM196.8 juta menerusi operasi pusat beli-belah dan hotel kumpulan itu di Johor Bahru dan Klang, Selangor.
Disokong permintaan pembeli yang berterusan, jualan hartanah baharu KSL dari awal tahun hingga kini mencecah RM1.6 bilion, mengatasi rekod TK2025 sebanyak RM1.35 bilion dan mencapai 80 peratus daripada sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM2.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2026.
“Jualan belum dibilkan meningkat kepada RM1.5 bilion setakat 30 Sept 2026 berbanding RM850 juta pada akhir TK2025, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2028,” menurut kumpulan itu.
Mengulas prospek kumpulan, Pengarah Eksekutif Khoo Lee Feng berkata KSL akan terus memanfaatkan kekuatannya serta meneroka peluang yang tersedia di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan sepanjang koridor Laluan Sistem Transit Rapid (RTS), dengan sokongan rizab tanah seluas lebih 1,618.743 hektar serta keupayaan melaksanakan projek secara cekap.
-- BERNAMA