BERITA TERKINI   Amaran hujan berterusan di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan hingga 27 Nov -MetMalaysia | Kerajaan Turkiye tidak bersedia terima pelarian Rohingya - PM Anwar | Petronas Chemicals kembali catat untung pada suku ketiga, dengan keuntungan bersih RM179 juta | Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri - Menteri Besar | 

Malaysia Berpotensi Jadi Hab Produk Bioteknologi Halal Global Menerusi HalalBio+

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) – Malaysia berpotensi berkembang sebagai hab pembangunan produk bioteknologi dan berasaskan bio yang memenuhi piawaian halal global menerusi pelaksanaan program Halal Bio Plus (HalalBio+) oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).

Bioeconomy Corporation, agensi peneraju pembangunan ekonomi negara dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ia memperkenalkan Bio-Link: Business Growth Acceleration, sebuah platform bersepadu bagi membantu syarikat tempatan dalam sektor berkenaan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan daya saing menerusi pelbagai bentuk sokongan pembangunan serta akses pasaran.

Ad Banner

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata antara inisiatif terbaharu yang melengkapkan platform Bio-Link ialah program HalalBio+ bertujuan membantu syarikat meningkatkan kesiapsiagaan halal, mempercepat persediaan mendapatkan pensijilan dan seterusnya meneroka peluang pasaran yang lebih luas. 

“Program ini dilaksanakan melalui tiga komponen utama, iaitu Halal Assessment, Halal Bootcamp dan Halal Coaching. Ia dijalankan secara berperingkat, dengan bimbingan Bioeconomy Corporation bersama rakan strategik yang berdaftar dengan Malaysia International Halal Academy (MIHA) di bawah JAKIM.

“Melalui pendekatan ini, syarikat dapat mengenal pasti jurang pematuhan, memahami keperluan pensijilan halal dan seterusnya menerima bimbingan yang bersesuaian bagi meningkatkan kesiapsiagaan mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Bio-Link: Business Growth Acceleration di sini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata HalalBio+ merupakan inisiatif strategik yang bukan sahaja membantu syarikat mendapatkan pensijilan halal, malah memperkukuh daya saing mereka menerusi pembangunan kapasiti, kesiapsiagaan pasaran dan tadbir urus pematuhan.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) untuk membangunkan industri bioteknologi dan halal bernilai tinggi, di samping memperluas pengkomersialan serta pasaran syarikat tempatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata HalalBio+ melangkaui bantuan pensijilan tradisional dengan turut menangani jurang pematuhan serta meningkatkan kesiapsiagaan komersial syarikat.

“Kami akan berusaha menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai HalalBio+ menjelang 2027. Lebih penting lagi, kami ingin memupuk pemahaman yang lebih baik bahawa pematuhan halal merupakan amalan perniagaan penting yang memelihara integriti produk dan menyokong kemampanan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Nora Mohamed berkata menerusi HalalBio+, Bioeconomy Corporation membantu syarikat bioteknologi dan berasaskan bio meningkatkan kesiapsiagaan dalam memenuhi keperluan halal melalui penilaian, latihan dan bimbingan praktikal.

“Ini membantu syarikat untuk mengenal pasti apa yang perlu ditambah baik dari segi produk, bahan yang digunakan dan proses pengeluaran mereka.

“Kita ingin syarikat melihat halal bukan sebagai satu keperluan untuk mendapatkan sijil semata-mata, tetapi sebagai satu nilai tambah kepada produk dan perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama.

Katanya produk yang memenuhi keperluan halal bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pengguna, malah membuka lebih banyak peluang kepada syarikat untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA