BERITA TERKINI   Sasterawan Negara A. Samad Said meninggal dunia di HKL pada 6.10 petang tadi - Anak | 

Eksport Perkhidmatan Pusat Data Lonjak Kepada RM11.7 Bilion Pada 2025

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Eksport perkhidmatan pusat data negara melonjak kepada RM11.7 bilion pada 2025 berbanding RM2.8 bilion pada 2024, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata perkembangan itu turut menyokong peningkatan eksport perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara kepada RM27.1 bilion, selain menyumbang kepada lebihan Akaun Perkhidmatan sebanyak RM1.2 bilion.

"Pada masa ini, sebanyak 55 pusat data telah mula beroperasi, dengan 117 projek pusat data direkodkan. Projek-projek ini menjana 4,053 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan gaji bagi jawatan peringkat kanan antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan.

Ad Banner

"Jumlah itu jauh melebihi median gaji bulanan nasional, manakala 89 peratus daripada jawatan berkemahiran tinggi berkenaan diisi oleh tenaga kerja tempatan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kelulusan pelaburan pusat data bukan sahaja dinilai berdasarkan saiz fasiliti, komitmen modal atau kapasiti megawatt, malah turut mengambil kira nilai ekonomi yang dapat dijana daripada pelaburan berkenaan.

"Apabila kita melihat pembangunan pusat data, ia bukan sekadar pembinaan bangunan. Kita perlu memahami peranan sebenar pusat data dalam menyediakan kapasiti pengkomputeran yang diperlukan untuk membangunkan penyelesaian kecerdasan buatan (AI).

Ad Banner
Ad Banner

"Pengoperasian pusat data juga memerlukan tenaga kerja berkemahiran khusus, termasuk jurutera teknologi maklumat, jurutera pengkomputeran awan dan pakar keselamatan siber," katanya.

Gobind berkata pembangunan ekosistem pusat data turut memerlukan perancangan rapi dari segi peluasan grid, bekalan elektrik dan sumber air memandangkan fasiliti berkenaan menggunakan tenaga serta kapasiti air yang besar.

-- BERNAMA