Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Selepas Pembelian Harga Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini selepas pembelian harga rendah membantu memulihkan harga daripada kerugian baru-baru ini, menurut seorang peniaga.
Bagaimanapun, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata lantunan itu dihadkan oleh kebimbangan terhadap peningkatan inventori minyak sawit Malaysia dan permintaan eksport yang lembap.
“Kebimbangan itu terus membebani pasaran walaupun pembeli kembali selepas harga menurun baru-baru ini.
“Melihat ke hadapan, hala tuju niaga hadapan MSM kekal sensitif terhadap pergerakan harga minyak kacang soya dan minyak mentah,” katanya kepada Bernama.
Ng meletakkan sokongan serta-merta pada paras RM4,080 setan dan rintangan pada RM4,250 setan.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Disember 2026 meningkat RM60 kepada RM4,108 setan, Januari 2027 menokok RM64 kepada RM4,199 setan dan Februari 2027 menambah RM63 kepada RM4,292 setan.
Mac 2027 naik RM58 kepada RM4,377 setan, April 2027 lonjak RM54 kepada RM4,448 setan dan Mei 2027 adalah RM47 lebih baik kepada RM4,487 setan.
Jumlah dagangan turun kepada 87,459 lot berbanding 119,585 sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 332,290 kontrak daripada 334,109.
Harga MSM fizikal untuk November Selatan menambah RM40 kepada RM4,100 setan.
-- BERNAMA