'Food Feels' Olah Sajian Barat Ikut Cita Rasa Tempatan, Sasar Pendapatan Lima Angka Sebulan
Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) -- Keupayaan mengolah sajian Barat mengikut cita rasa tempatan menjadi strategi utama pasangan suami isteri dalam memperkukuh kedudukan restoran Food Feels, di samping mengekalkan pelanggan sedia ada dan meneroka peluang pengembangan perniagaan dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Pemilik bersama, Masila Masod, 56, dan suaminya, Hasrin Busno, 59, berkata mereka mengambil alih perniagaan yang diasaskan pada 2017 itu daripada rakan baik mereka pada Ogos 2024 dengan pelaburan keseluruhan melebihi RM100,000, termasuk kos pengambilalihan dan pengubahsuaian premis.
Masila berkata keputusan mengambil alih restoran berkenaan dibuat berdasarkan keyakinan terhadap potensi perniagaannya, khususnya dari segi kualiti makanan, resipi tersendiri dan pangkalan pelanggan tetap yang telah dibina sejak penubuhannya.
Menurutnya, meskipun restoran itu berpindah dari lokasi asal di Adda Heights ke Tebing Dato' Onn di sini kira-kira dua bulan lepas berikutan kekangan ruang parkir dan kadar sewa, hampir 80 peratus pelanggan sedia ada masih kekal berkunjung.
"Dari segi pendapatan bulanan, buat masa ini ia masih dalam lingkungan empat angka dan kami berharap dapat meningkatkannya kepada lima angka pada masa hadapan. Kami perlu sentiasa optimis dengan perancangan pemasaran yang dilaksanakan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas strategi menarik pelanggan, Masila dan Hasrin berkata Food Feels memberi penekanan kepada sajian Barat yang diolah mengikut cita rasa masyarakat tempatan menerusi resipi yang menggabungkan rasa pedas, manis dan berempah.
Pendekatan itu membolehkan restoran berkenaan menawarkan kelainan dalam pasaran F&B yang kompetitif, dengan antara menu paling mendapat sambutan termasuk Creamy Clam Mantao, Grilled Chicken, Lamb Chop dan Thai Tiger yang dihidangkan bersama sos perang (brown sauce) buatan sendiri.
"Kebanyakan hidangan Barat di luar rasanya agak tawar, tetapi di sini kami mengekalkan resipi tersendiri yang mempunyai gabungan rasa pedas, manis dan berempah bagi memenuhi cita rasa masyarakat Malaysia.
"Memandangkan kebanyakan pelanggan berkunjung bersama keluarga pada hujung minggu, kami turut menawarkan pilihan menu masakan Melayu panas seperti nasi goreng dan daging salai, selain hidangan ringan untuk minum petang seperti tempe rangup yang diinspirasikan daripada sajian Aceh," kata pasangan itu.
Dalam memastikan daya saing perniagaan terus terpelihara ketika berdepan kenaikan kos bahan mentah, Hasrin berkata pihaknya mengamalkan strategi pembelian secara terus daripada pembekal utama bagi mengawal kos operasi tanpa menjejaskan mutu makanan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan restoran berkenaan mengekalkan harga menu antara RM10.90 hingga RM35, selain terus menggunakan bahan berkualiti seperti krim putar bagi memastikan hidangan memenuhi standard yang ditetapkan.
Pasangan yang mempunyai pengalaman mengusahakan medan selera dan restoran sejak 2010 itu kini dibantu enam pekerja dan merancang mengembangkan perniagaan menerusi pembukaan cawangan baharu dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Hasrin berkata hasrat itu bagaimanapun bergantung kepada keupayaan mereka membangunkan pasukan kerja yang komited serta memastikan operasi perniagaan sedia ada terus stabil sebelum melangkah ke fasa pengembangan seterusnya.
--BERNAMA