BERITA TERKINI   Harga petrol RON97 kekal pada kadar RM4.35 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun - MOF | ASEAN dan Rusia mampu menyumbang secara bermakna dengan memperkukuh kerjasama praktikal berasaskan saling menghormati, keterbukaan dan kepentingan bersama - PM Anwar | ASEAN dan Rusia mampu pupuk ekonomi global lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur dengan membina hubungan lebih kukuh antara perniagaan, institusi dan masyarakat - PM Anwar | ASEAN terus percaya bahawa kemajuan ekonomi adalah paling baik digerakkan menerusi kerjasama dan bukannya konfrontasi, serta libat urus dan bukannya peminggiran - PM Anwar | 

ABM GARIS EMPAT KEUTAMAAN STRATEGIK UNTUK PERTUMBUHAN MASA DEPAN

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) yang sedang meraikan ulang tahun ke-50 menggariskan empat keutamaan strategik bagi fasa seterusnya dalam perjalanan mereka iaitu keterangkuman sosial, inovasi digital dan teknologi, amalan lestari serta pembangunan dan ketahanan industri.

ABM berkata, keutamaan ini selaras dengan strategi sosio-ekonomi Malaysia dan matlamat pembangunan lestari ASEAN.

"Persatuan ini menyasarkan untuk meletakkan ASEAN sebagai peneraju dalam kewangan lestari sambil menggalakkan kerjasama yang lebih rapat dengan pengawal selia, pemain industri dan pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Pada Khamis lepas, ABM menganjurkan Mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-52 di bawah naungan Persatuan Bank-Bank ASEAN yang berakhir dengan majlis makan malam gala bagi meraikan ulang tahunnya ke-50.

Bercakap pada majlis makan malam tersebut, Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli berkata selama lima dekad, persatuan ini menjadi tonggak inovasi dan ketahanan selain menyesuaikan diri dengan cabaran sambil menyokong komuniti dan perniagaan.

"Pencapaian ABM termasuk mempelopori moratorium pinjaman selama enam bulan semasa pandemik COVID-19 yang memberikan kelegaan kepada lebih lapan juta peminjam.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Persatuan itu juga telah memperjuangkan inisiatif untuk memerangi penipuan kewangan, menyokong pendigitalan perkhidmatan perbankan selain usaha lanjutan dalam celik kewangan dan keterangkuman,” katanya.

Pada majlis tersebut, ABM turut menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama serantau.

Pada mesyuarat tahun ini yang bertemakan "Kelestarian: Bertindak Sekarang untuk Masa Depan", ABM menekankan tekad bersama pemimpin perbankan ASEAN bagi menangani cabaran bersama termasuk perubahan iklim, transformasi digital dan keterangkuman kewangan.

ABM berkata mesyuarat tersebut menekankan inisiatif utama seperti sistem pembayaran rentas sempadan, rangka kerja pembiayaan hijau serta infrastruktur digital bersama selain membuka jalan untuk komuniti kewangan ASEAN yang lebih kukuh dan lestari.

Sejak penubuhannya, ABM berada di barisan hadapan dalam pembangunan kewangan Malaysia yang memainkan peranan penting dalam pembinaan negara.

Katanya, daripada membiayai projek infrastruktur utama negara kepada menggalakkan keterangkuman dan kemampanan kewangan, ABM membantu membentuk ekosistem perbankan yang teguh serta inovatif.

-- BERNAMA