BERITA TERKINI   Maldives teguh bersama Palestin dalam perjuangan kemerdekaannya dengan Jerusalem sebagai ibu negara, berdasarkan sempadan pra-1967 - Presiden Muizzu | Maldives berminat teroka inisiatif bersama Malaysia, khususnya dalam industri halal dan ekonomi digital - Presiden Maldives | Dasar visa Malaysia untuk pelajar Maldives dan keluarga, jadikan Malaysia destinasi pilihan pendidikan tinggi - Presiden Maldives. | Malaysia menyokong Maldives yang lantang bersuara menggesa masyarakat antarabangsa mengutamakan perlindungan alam sekitar - PM Anwar | 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10kg diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar setakat pertengahan April - Mohamad | 
Ad Banner
Ad Banner

Pengembangan Fasa 2 EVE Energy Cipta Lebih 1,000 Pekerjaan – MIDA

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pengembangan Fasa 2 EVE Energy Co Ltd (EVE Energy) akan mencipta lebih 1,000 pekerjaan, menegaskan komitmennya terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).  

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pengembangan itu bertujuan memenuhi permintaan global yang semakin meningkat untuk penyelesaian sistem penyimpanan tenaga, memacu inovasi dan kemampanan dalam sektor ini. 

"Eve Energy komited untuk menjalin pakatan yang mantap dengan pembekal Malaysia, memupuk rantaian bekalan tempatan yang mantap serta berteknologi. Dengan mengutamakan kerjasama dengan vendor tempatan, EVE Energy mahu mewujudkan ekosistem pembuatan bateri yang komprehensif di Malaysia.

Ad Banner

"Kemasukan pembekal antarabangsa melalui pengembangan ini akan memberikan kepakaran mentor serta teknikal yang berharga, memperkasakan perusahaan Malaysia dan mendorong pertumbuhan dalam industri tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Baru-baru ini, Eve Energy telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Invest Kedah untuk membangunkan kemudahan pembuatan Fasa 2, sebuah projek yang dijangka mengubah sektor penyimpanan tenaga Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan.

MOU tersebut dimemeterai pada 16 Mac antara Ketua Pegawai Operasi Pelaburan Kedah, Noor Ikhsan Abdul Aziz dan Presiden EVE Energy, Liu Jian Hua.  

Ad Banner

Sikh Shamsul Ibrahim berkata perjanjian itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan, inovasi teknologi dan pengembangan ekosistem kenderaan elektriknya (EV).

"Ketika kami mempercepatkan kemajuan ke arah masa depan tenaga yang bersih serta terjamin, pelaburan strategik seperti ini memainkan peranan penting dalam meletakkan Malaysia sebagai pemimpin serantau dalam teknologi EV dan bateri.  

"Dengan kepakaran dan komitmen Eve Energy, bersama dengan ekosistem perindustrian yang kukuh di Malaysia, kami bukan sekadar membangunkan kilang, kami sebenarnya membina peluang, memperkasakan bakat tempatan selain memantapkan kedudukan kami dalam rantaian bekalan tenaga bersih serantau," katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyambut inisiatif itu, dengan menjelaskan bahawa ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab untuk penyelesaian pembuatan tenaga termaju dan lestari, selaras dengan dasar-dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030, Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Pelaburan strategik dalam pengeluaran bateri canggih untuk sistem penyimpanan tenaga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keselamatan tenaga negara kita dan komitmen terhadap kemampanan alam sekitar dengan memajukan teknologi kenderaan dan generasi akan datang. 

"Apa yang sama pentingnya ialah bagaimana ini mampu membantu memupuk rantaian bekalan tempatan yang lebih mantap termasuk mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, membuka jalan bagi Malaysia untuk menerajui ekonomi hijau Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas EVE Energy, Liu Jincheng berkata kemudahan Malaysia, langkah pertama syarikat dalam pengembangan globalnya, bertujuan untuk menetapkan penanda aras antarabangsa yang baharu.

Projek ini mampu mempercepatkan peralihan tenaga hijau melalui inovasi teknologi dan pembuatan termaju, memacu pertumbuhan ekonomi serta penciptaan pekerjaan tempatan.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan kerajaan Malaysia dengan mengatakan kerjasama yang lebih mendalam antara kedua-dua pihak adalah penting bagi memajukan pembangunan berkualiti tinggi industri tenaga baharu Asia Tenggara.

-- BERNAMA