BERITA TERKINI   PRN Johor : Parti Orang Asli Malaysia buat penampilan sulung, pertaruh Jati Awang dalam pertandingan empat penjuru di DUN Endau | UAV muncul pemangkin utama rangsang inovasi, pertumbuhan ekonomi dengan pasaran global diunjur melebihi USD55 bilion menjelang 2030 - PM Anwar | PRN Johor: SPR sahkan 172 calon layak bertanding, 138 calon lelaki dan 34 wanita - SPR | PRN Johor: SPR sahkan 172 calon layak bertanding, 138 calon lelaki dan 34 wanita - SPR | PRN Johor : BN dan PH tanding 56 DUN, PN (33), Bersama (15), MUDA (14), bebas (6), Parti Orang Asli Malaysia (satu) dan PSM (satu) - SPR | 

UTS, Entera Diiktiraf Pusat Latihan Dan Peperiksaan Reka Bentuk Sistem Solar PV

SIBU, 30 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Entera Technology Academy (ETA) hari ini diiktiraf sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan bagi Reka Bentuk Sistem Solar Fotovoltaik (PV), satu langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem latihan tenaga boleh baharu (TBB) di Sarawak.

Pengarah Urusan ETA Dr Abang Hatta Abang Taha berkata pengiktirafan berkenaan adalah hasil kerjasama strategik dengan UTS sejak 2018 dan dimantapkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada September 2023.

“Program ini dibangunkan bersama Global Sustainable Energy Solutions (GSES) dari Australia, sebuah organisasi latihan TBB yang berpengalaman lebih dua dekad sebagai organisasi latihan berdaftar (RTO),” katanya pada majlis meraikan pengiktarafan berkenaan di kampus induk UTS di sini hari ini.

Ad Banner

Majlis itu turut dihadiri Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) Datuk Julaihi Narawi sebagai simbol sokongan kerajaan negeri terhadap pembangunan modal insan dalam bidang teknologi hijau.

Sementara itu, Abang Hatta berkata GSES telah menganugerahkan lesen seumur hidup kepada ETA sebagai pengiktirafan terhadap komitmen akademi itu dalam melaksanakan latihan bukan sahaja di Malaysia, malah turut merangkumi pasaran serantau termasuk Indonesia.

“Kesemua tenaga pengajar terdiri daripada pensyarah UTS dan jurutera industri tempatan yang telah menjalani latihan ‘Train the Trainers’ intensif selama setahun bersama GSES, meliputi aspek teori, praktikal dan penilaian lapangan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Abang Hatta berkata latihan teknikal yang ditawarkan ETA bukan sahaja memenuhi garis panduan Electrical Inspectorate Unit (EIU), malah turut membuka laluan kepada pensijilan kompetensi yang diiktiraf pihak berkuasa.

Sementara itu, Naib Canselor UTS Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata akreditasi ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap keupayaan akademik dan teknikal institusi berkenaan serta bukti tanggungjawab UTS dalam menyokong agenda tenaga mampan negara.

“Sebagai universiti teknologi milik penuh kerajaan negeri, UTS komited untuk melahirkan tenaga kerja tempatan dan antarabangsa yang bukan sahaja mahir dari segi teori, tetapi juga bersedia menyumbang secara praktikal dalam penyelenggaraan sistem solar,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara UTS dan ETA telah membuahkan hasil sebelum ini menerusi pelaksanaan Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi kawasan kediaman di Hainton Residences, Kuching pada Mac 2023.

“Daripada pengalaman itu, kami melihat keperluan mendesak untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam reka bentuk sistem solar PV, selaras dengan piawaian keselamatan dan keperluan industri,” katanya.

-- BERNAMA