Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Menurun Minggu Depan
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan dengan kecenderungan menurun minggu depan, terkesan oleh harga minyak mentah lebih rendah dan stok minyak sawit yang banyak.
Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata penurunan harga minyak mentah baru-baru ini akan memberi kesan kepada niaga hadapan MSM, yang telah menjejaki pergerakan dalam pasaran tenaga.
“Minyak mentah telah turun kepada kira-kira US$73 hingga US$74 setong. Niaga hadapan MSM yang telah dipengaruhi pasaran tenaga akan turut susut minggu depan.
“Stok mencukupi, dengan Malaysia memegang kira-kira 2.43 juta tan. Oleh itu, MSM dijangka diniagakan antara RM4,250 dan RM4,350 satu tan metrik,” katanya kepada Bernama.
Teh berkata permintaan fizikal untuk MSM dijangka datang dari India, Pakistan, China, Asia Barat, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
Menyuarakan pandangan sama, Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata niaga hadapan MSM dijangka berada di bawah tekanan minggu depan disebabkan oleh harga minyak mentah yang lebih lemah susulan perjanjian damai di Asia Barat.
“Sehubungan itu, dijangkakan harga MSM akan berada dalam julat antara RM4,450 dan RM4,650 setan,” katanya.
Bagi Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan Julai 2026 susut RM90 kepada RM4,504 satu tan, Ogos 2026 turun RM83 kepada RM4,539 setan, September 2026 berkurangan RM78 kepada RM4,568 satu tan.
Oktober 2026 merosot RM77 kepada RM4,591 setan, November 2026 menguncup RM78 kepada RM4,611 satu tan dan Disember 2026 turun RM79 kepada RM4,631 setan.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 424,149 lot daripada 330,445 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 284,997 kontrak daripada 297,112 kontrak.
Harga fizikal MSM bagi Julai Selatan susut RM30 kepada RM4,530 satu tan.
-- BERNAMA