BERITA TERKINI   Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | ASEAN teliti pendekatan baharu perkukuh pelaksanaan 5PC bagi krisis di Myanmar - Mohamad Hasan | Sehingga 18 Jun lepas, pembiayaan lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS - Akmal Nasrullah | Jumlah tenaga buruh meningkat 17.33 juta orang setakat April 2026, kehilangan pekerjaan turun 6,197 orang setakat 22 Jun - Akmal Nasrullah | 

PM Anwar Akan Bertemu 36 Syarikat Itali, Termasuk MNC Di Rom

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertemu para pemimpin industri daripada 36 syarikat Itali, termasuk syarikat multinasional (MNC) seperti Leonardo SpA, STMicroelectronics dan Ferrero semasa lawatan kerja sulung beliau ke Rom, Itali.

Pertemuan itu akan berlangsung semasa sesi persidangan Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali pada 2 Julai, kata Duta Besar Malaysia ke Itali, Datuk Zahid Rastam hari ini.

“Selain 36 syarikat Itali dan beberapa persatuan industri di sini, pertemuan itu juga akan disertai syarikat Malaysia yang mengiringi Perdana Menteri,” katanya pada taklimat media yang diadakan secara maya, di sini, hari ini.

Ad Banner

Leonardo SpA terlibat khusus dalam bidang aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan, STMicroelectronics dalam semikonduktor, manakala Ferrero merupakan salah satu pengeluar coklat dan konfeksioneri terbesar di dunia.

Ketiga-tiga MNC ini mempunyai kehadiran kukuh di Malaysia.

“Selain itu, terdapat syarikat Itali yang ingin terus melabur dan meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Malaysia,” katanya menjelang lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Itali selama tiga hari bermula 1 Julai 2025.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ini merupakan lawatan sulung Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan ke Itali, ekonomi ketiga terbesar di Kesatuan Eropah (EU) dan kelapan terbesar di dunia mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Ekonomi Itali menyumbang kira-kira 12 peratus daripada KDNK Eropah.

Selain mesyuarat perniagaan, Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya Giorgia Meloni mengenai kerjasama dua hala dalam perdagangan, pelaburan, pertahanan, agrokomoditi dan ekonomi digital.

Lawatan Perdana Menteri ke Itali adalah atas jemputan Meloni.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA).

Pusingan pertama rundingan FTA yang baharu dan komprehensif antara EU dan Malaysia dijadual diadakan di Brussels, Belgium, dari 30 Jun hingga 4 Julai 2025.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Januari lepas berkata MEUFTA dijangka dimuktamadkan pada 2026.

EU adalah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia (selepas China, Singapura dan AS), menyumbang 9.5 peratus daripada jumlah perdagangan barangan negara pada 2023.

Pada 2023, Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar EU dalam rantau ASEAN (selepas Singapura dan Vietnam).

-- BERNAMA