BERITA TERKINI   Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 Sept - Saifuddin | Kertas siasatan dakwaan MB Negeri Sembilan dipaksa tandatangan Surat Cara Proklamasi telah dibuka dan masih dalam proses siasatan -- Saifuddin Nasution | KDN nilai tawaran kapal ronda luar pesisir kedua daripada Ex-United States Coast Guard (USCG) berdasarkan kelayakan belayar, kos baik pulih - Saifuddin | Kadar elaun anggota RELA RM8 sejam akan disemak kepada kadar lebih munasabah -- Saifuddin Nasution | Pasukan Petugas Pusat Data telah menerima lebih 40 permohonan untuk mewujudkan atau memperluas operasi di Malaysia tahun ini - MITIĀ  | 

APEC : Malaysia Gesa Pemodenan Peraturan Dagangan Global, Manfaatkan Digitalisasi

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 30 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa kalangan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertindak melakukan pemodenan peraturan perdagangan global untuk memanfaatkan pendigitalan serta kecerdasan buatan (AI) bagi pertumbuhan yang terangkum.

Bercakap pada sesi Mesyuarat Menteri-Menteri APEC di sini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut menggesa negara anggota APEC untuk memanfaatkan momentum transformasi digital dan AI bagi memastikan keterangkuman dan pertumbuhan mampan merentasi rantau berkenaan.

Ad Banner

Beliau turut menegaskan peranan pendigitalan yang kini menjadi nadi sistem perdagangan semasa, daripada tahap pelepasan kastam tanpa kertas dan sijil elektronik sehingga sistem tetingkap tunggal digital sepenuhnya.

Teknologi juga, kata beliau, telah membentuk perdagangan rentas sempadan selain meningkatkan lagi keterhubungan ekonomi dalam kalangan negara anggota.

“Pendigitalan tidak harus menjadikan dagangan lebih pantas dan pintar, sebaliknya perlu lebih adil serta terangkum. Apabila teknologi dan kepercayaan bergerak seiringan, ekonomi bukan setakat tumbuh, tetapi berkembang maju,” katanya pada sesi intervensi Malaysia di mesyuarat berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Hadir sama, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Memetik penilaian APEC, Tengku Zafrul berkata kemudahan perdagangan digital telah mengurangkan kos urus niaga sehingga 15 peratus, menjadikan masa pemprosesan lebih singkat daripada beberapa hari kepada hanya beberapa minit selain memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), wanita dan belia untuk bersaing di peringkat global.

Perdagangan digital dalam kalangan serantau kini menyumbang kira-kira US$2.1 trilion (US$1 = RM4.20) kepada ekonomi APEC.

Tengku Zafrul turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap Pelan Tindakan Ekonomi Internet dan Digital APEC (AIDER) yang memperkukuh kerjasama dalam tadbir urus data, keselamatan siber dan pembangunan kapasiti digital untuk memastikan kemajuan teknologi berteraskan kepercayaan, keterangkuman serta kebolehoperasian.

Selain itu, beliau juga menggesa pemodenan Perjanjian Pemudahan Perdagangan (TFA) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) agar mencerminkan realiti digital masa kini.

Ini berikutan TFA sedia ada yang dimuktamadkan hampir sedekad lepas, tidak lagi memadai dalam menangani kerumitan perdagangan yang dipacu oleh dokumentasi digital, invois elektronik dan aliran data rentas sempadan.

“Perdagangan masa kini bergantung kepada sistem serta data yang belum pun wujud sewaktu TFA dirangka. Pemodenan mudah cara perdagangan juga bukannya mengenai penggubalan semula peraturan -- ia menyentuh aspek memantapkan kecekapan dan jika kita gagal menyesuaikan diri, kerangka yang berisiko menjadi lapuk,” katanya.

Tengku Zafrul juga menarik tumpuan terhadap mineral kritikal serta peranan AI sebagai pengubah keadaan atau pengupaya dalam rantaian bekalan global dan menggesa WTO serta APEC untuk bekerjasama mewujudkan piawaian yang menggalakkan ketelusan, kemampanan dan daya tahan.

Sambil menegaskan lagi peranan APEC sebagai pemangkin idea, beliau berkata inisiatif rintis terhadap perdagangan tanpa kertas dan pemudah cara digital, telah memaparkan hasil ketara -- mengurangkan kos, menambah baik pematuhan dan memperkasa PMKS di serata rantau ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menekankan gesaan bagi melakukan tindakan bersama untuk menyuntik nafas baharu dari segi kerelevanan global dan kewibawaan WTO bagi memastikan sistem perdagangan antarabangsa itu kekal berdaya tahan, terangkum dan kalis masa depan dalam era transformasi digital.

-- BERNAMA