BERITA TERKINI   Malaysia tidak akan sewenang-wenangnya hantar pulang pelarian Myanmar, proses berkenaan perlukan rundingan - PM | Malaysia adakan rundingan diplomatik dengan Myanmar mengenai penghantaran pulang pelarian, junjung hak asasi manusia - PM | PM Anwar akan bincang dengan Anthony Loke berhubung peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan | PM Anwar umum 29 Sept setiap tahun sebagai Hari Ikhtisas Malaysia | Golongan profesional perlu bantu tingkat produktiviti, perkukuh tadbir urus negara - PM Anwar | 

Intel Umum Pelaburan Tambahan RM860 Juta Bagi Jadikan Malaysia Pusat Operasi Pemasangan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelaburan ini berdasarkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan Malaysia, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99 peratus siap,” kata beliau dalam catatan di laman media sosial hari ini.

Ad Banner

Terdahulu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, anak Malaysia yang telah mengharumkan nama negara dalam industri semikonduktor dan perisian di persada global.

“Dalam pertemuan tersebut, kami membincangkan perkembangan sektor semikonduktor serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi,” kata beliau. 

Anwar turut menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan yang telah menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.

Ad Banner
Ad Banner

“Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia,” kata beliau. 

-- BERNAMA