SPPP Akan Terus Perkasa Ekosistem Pelabuhan Pulau Pinang, Sedia Depani Cabaran Maritim
GEORGE TOWN, 28 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) akan terus memperkukuh ekosistem Pelabuhan Pulau Pinang dengan memberi penekanan kepada inovasi, integriti dan profesionalisme bagi memastikan pelabuhan itu kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran industri maritim.
Pengerusinya Datuk Yeoh Soon Hin berkata pengalaman sepanjang 70 tahun penubuhan SPPP merupakan asas penting untuk organisasi itu terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan serta perkapalan global.
“Kita mahu melihat sebuah organisasi yang sentiasa bersedia menghadapi perubahan, terbuka kepada inovasi, mengutamakan integriti dan profesionalisme serta mampu memberikan nilai yang lebih besar kepada pembangunan pelabuhan dan sektor maritim negara.
“Sepanjang 70 tahun penubuhannya, SPPP telah melalui pelbagai perubahan dalam landskap pelabuhan dan maritim seiring dengan perkembangan perdagangan, perkapalan, teknologi, keselamatan, logistik dan keperluan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Malam Gala 70 Tahun SPPP di sini malam ini.
Beliau berkata perjalanan SPPP selama tujuh dekad turut dibentuk oleh sumbangan pelbagai generasi, termasuk bekas pengerusi, bekas warga kerja dan barisan pengurusan terdahulu yang telah meletakkan asas kepada perkembangan organisasi itu sehingga hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Yeoh berkata sebanyak 70 program dirancang sepanjang tahun ini bersempena sambutan ulang tahun ke-70 SPPP, dengan 68 program telah dilaksanakan setakat ini.
Katanya dua program yang masih berbaki ialah Museum Ferry Run dengan kerjasama Penang Museum Ferry serta program gotong-royong penanaman pokok bakau dan ceramah hijau bersama komuniti pelabuhan.
Selain itu, beliau memaklumkan SPPP turut menerbitkan video dokumentari dan buku coffee table bagi mendokumentasikan perjalanan, sejarah dan pencapaian organisasi itu sepanjang tujuh dekad.
Yeoh berkata hubungan strategik antara SPPP dengan Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Penang Port Sdn Bhd, agensi kerajaan, pengguna pelabuhan dan pemain industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan pelabuhan dapat memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
-- BERNAMA