Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Bergerak Seiring Pasaran Tunai Minggu Depan
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menjejaki pergerakan pasaran tunai minggu depan, susulan pasaran memberi tumpuan terhadap data ekonomi utama China dan Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur dijangka memberi tumpuan kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China serta data guna tenaga AS yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Menjelang minggu depan, potensi aktiviti pengemasan portfolio akhir tahun menjelang Disember boleh memberikan dorongan tambahan kepada pasaran tempatan,” katanya kepada Bernama.
PMI pembuatan China bagi November 2026 dijadualkan diumumkan pada Isnin, 30 November, manakala data guna tenaga AS bagi November 2026 dijadualkan dikeluarkan pada Jumaat, 4 Dis 2026, pada 9.30 malam waktu Malaysia.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI diniagakan tinggi, seiring dengan prestasi pasaran tunai.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 meningkat 46 mata kepada 1,592, Disember 2026 dan Mac 2027 masing-masing menokok 50.5 mata kepada 1,596.5 dan 1,578.5, manakala Jun 2027 naik 45 mata kepada 1,575.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 231,641 lot daripada 48,199 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 89,697 kontrak daripada 45,145 kontrak sebelum itu.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 32.73 mata kepada 1,589.24 daripada 1,556.51 sebelumnya.
-- BERNAMA