BERITA TERKINI   PRN Sarawak: 29 kerusi menang tanpa bertanding catat rekod tertinggi, atasi 19 kerusi pada 1996 - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: Lebih 632,000 pengundi di 29 DUN menang tanpa bertanding tidak perlu keluar mengundi - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: 168 calon disahkan bertanding di 53 DUN, GPS menang 29 kerusi tanpa bertanding - Pengerusi SPR | Semua yang terlibat kes seludup dadah guna aset TUDM akan dikesan sehingga ke lubang cacing - Mohamed Khaled | MINDEF beri laluan kepada PDRM lakukan siasatan menyeluruh, pastikan dalang kes seludup dadah guna aset TUDM diberkas - Mohamed Khaled | 

Dagangan Bursa Malaysia Diunjur Berhati-hati Susulan Pengumuman Data China, AS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati pada minggu depan ketika pelabur dijangka menumpukan pengumuman data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan China serta data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan petunjuk terkini mengenai prospek ekonomi global.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti memperelok akaun atau portfolio pelaburan menjelang akhir tahun bagaimanapun berpotensi menyuntik momentum tambahan kepada pasaran tempatan apabila memasuki bulan Disember.

Ad Banner

“Berikutan itu, kami kekal optimis berhati-hati namun pada masa sama selektif, disokong oleh penyertaan belian lebih meluas serta prestasi pendapatan korporat domestik yang berdaya tahan.

“Kami juga percaya syarikat-syarikat dengan asas yang baik dan pendedahan terhad terhadap pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI), adalah kekal menarik. Ini susulan langkah pembetulan pasaran baru-baru ini, khususnya bagi saham perbankan, pengguna dan sektor lain yang dipacu oleh permintaan domestik dan menawarkan prospek pendapatan sihat dan dividen mampan,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata di sebalik ketidaktentuan luaran yang masih berlanjutan, aktiviti pengumpulan saham terpilih dijangka menjadi pemangkin untuk pergerakan pasaran tempatan.

Ad Banner
Ad Banner

Ini dijangka mempengaruhi pergerakan Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang diunjurkan dalam julat 1,570 hingga 1,600 mata pada minggu depan.

Data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China bagi November 2026 dijangka diumumkan pada Isnin, 30 November 2026 manakala data pekerjaan AS bagi November 2026 diumumkan pada 4 Disember 2026.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 32.73 mata kepada 1,589.24 daripada 1,556.51 mata pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas melonjak 128.80 mata kepada 11,620.66, Indeks FBM Top 100 meningkat 131.78 mata kepada 11,472.60 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 1.04 mata kepada 11,400.28.

Indeks FBM ACE sebaliknya susut 164.14 mata kepada 4,654.67 manakala Indeks FBM Mid 70 merosot 261.09 mata kepada 16,018.74.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga menambah 3.05 mata kepada 742.37, Indeks Perladangan melonjak 117.38 mata kepada 8,805.14, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 3.29 mata kepada 163.51 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 537.63 mata kepada 18,841.03.

Selain itu, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.45 bilion unit bernilai RM14.19 bilion daripada 16.63 bilion unit bernilai RM14.12 bilion yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 7.98 bilion unit bernilai RM12.63 bilion daripada 8.17 bilion unit bernilai RM12.43 bilion, sebelum ini.

Pada masa sama, jumlah dagangan waran bertambah kepada 4.59 bilion unit bernilai RM477.61 juta daripada 4.42 bilion unit bernilai RM534.03 juta pada minggu sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan merosot kepada 2.86 bilion unit bernilai RM1.08 bilion daripada 4.02 bilion unit bernilai RM115.11 juta pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA