BERITA TERKINI   PRN Sarawak: 29 kerusi menang tanpa bertanding catat rekod tertinggi, atasi 19 kerusi pada 1996 - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: Lebih 632,000 pengundi di 29 DUN menang tanpa bertanding tidak perlu keluar mengundi - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: 168 calon disahkan bertanding di 53 DUN, GPS menang 29 kerusi tanpa bertanding - Pengerusi SPR | Semua yang terlibat kes seludup dadah guna aset TUDM akan dikesan sehingga ke lubang cacing - Mohamed Khaled | MINDEF beri laluan kepada PDRM lakukan siasatan menyeluruh, pastikan dalang kes seludup dadah guna aset TUDM diberkas - Mohamed Khaled | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Dengan Kecenderungan Menurun Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan apabila pasaran mengalami pembetulan teknikal, susulan tekanan daripada harga tenaga yang lebih rendah dan paras inventori yang tinggi.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata tekanan menurun itu disebabkan harga tenaga yang susut dengan ketara sejak beberapa hari lepas, sekali gus mendorong spekulator yang sebelum ini menaikkan harga MSM seiring dengan kenaikan harga tenaga untuk mencairkan pegangan mereka.

Ad Banner

“Sementara itu, paras inventori yang tinggi terus menjejaskan sentimen pasaran susulan laporan terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menunjukkan jumlah stok minyak sawit mencecah paras rekod 3.62 juta tan pada akhir Oktober,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Teh menjangkakan niaga hadapan MSM akan diniagakan antara RM3,800 hingga RM3,900 satu tan minggu depan, sambil menyatakan harga pada paras berkenaan berpotensi menarik lebih ramai pembeli fizikal dan membantu mengurangkan paras inventori secara beransur-ansur.

“Permintaan fizikal dijangka disokong oleh pasaran pengimport utama termasuk China, India, Pakistan, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah, serta pada tahap permintaan yang lebih kecil iaitu dari Amerika Syarikat (AS),” jelasnya.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata paras stok yang tinggi dan permintaan eksport yang lembap telah mengehadkan kenaikan semula harga baru-baru ini, manakala pasaran kekal sensitif terhadap pergerakan harga minyak kacang soya dan minyak mentah.

“Kami menjangkakan harga diniagakan dalam lingkungan RM4,100 hingga RM4,400 satu tan pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Disember 2026 meningkat RM28 kepada RM4,068 satu tan, manakala Januari 2027 menambah RM66 kepada RM4,207 satu tan dan Februari 2027 menokok RM91 kepada RM4,308 satu tan.

Kontrak Mac 2027 bertambah RM115 kepada RM4,396 satu tan, April 2027 melonjak RM131 kepada RM4,464 satu tan, manakala Mei 2027 menokok RM148 kepada RM4,511 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 534,925 lot daripada 599,400 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 332,792 kontrak daripada 338,348 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan meningkat RM50 kepada RM4,130 satu tan.

-- BERNAMA