BERITA TERKINI   Seramai 842 orang dipindahkan akibat banjir di Beaufort, Sook dan Nabawan setakat 8 malam ini - JPBN Sabah | Liga Super: Sabah FC 2-4 Selangor FC | Liga Super: Negeri Sembilan FC 1-2 Terengganu FC | Pemulihan bekalan elektrik Pantai Timur Sabah dilakukan berperingkat menggunakan generator sementara - Hajiji | Sabah lulus hampir 3,000 megawatt kapasiti tenaga baharu bagi perkukuh bekalan elektrik menjelang 2030 - Hajiji | 

Bank Islam Catat Untung Bersih RM67.34 Juta Pada Suku Ketiga, Isytihar Dividen Interim 8.24 Sen

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Bank Islam Bhd, mencatatkan penyusutan dalam keuntungan bersihnya kepada RM67.34 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM129.23 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil bagaimanapun meningkat kepada RM1.29 bilion daripada RM1.27 bilion sebelum ini.

Bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM94.0 juta pada suku ketiga, susut 48.0 peratus berbanding RM180.8 juta pada suku sama tahun lepas.

Ad Banner

Ini berikutan jumlah kos overhed yang meningkat, peruntukan bersih bagi susut nilai pembiayaan yang lebih tinggi dan pendapatan bersih yang lebih rendah.

Dari segi segmen operasi, Bank Islam memaklumkan pendapatan bersih perbankan runcit kumpulan meningkat 18.1 peratus berbanding suku ketiga 2025, terutamanya didorong oleh pendapatan berasaskan dana bersih, pendapatan bancatakaful, komisen deposit dan fi pengurusan kekayaan yang lebih tinggi.

“Pendapatan bersih perbankan institusi kumpulan menyusut sebanyak 24.1 peratus kepada RM321.50 juta pada suku ketiga 2026. Penyusutan ini terutamanya disebabkan oleh pendapatan pelaburan dan pertukaran asing yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi,” tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM321.50 juta daripada RM382.18 juta dalam tempoh sama tahun lepas, manakala hasil meningkat sedikit kepada RM3.90 bilion daripada RM3.78 bilion.

Mengenai prospek, bank itu memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan strategi dengan memberi tumpuan secara berdisiplin kepada usaha meningkatkan pulangan, mengejar peluang pertumbuhan dan memperkukuh kecekapan operasi, di samping menambah baik pengalaman pelanggan dan keupayaan digital.

“Bank ini kekal berteraskan prinsip-prinsip syariah yang membentuk tujuan dan identitinya,” tambahnya.

Menurutnya, bank itu akan memberi tumpuan kepada keutamaan seperti memperkukuh tawaran nilai merentasi bidang perniagaan sedia ada dan baharu dan mengejar peluang pertumbuhan baharu secara selektif, selain memperluas penyelesaian pembiayaan mampan dan kewangan sosial.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Bank Islam memaklumkan lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim tunai penuh sebanyak 8.24 sen sesaham biasa yang berjumlah RM186.8 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata pertumbuhan berterusan dalam perniagaan perbankan terasnya, bersama kualiti aset yang kukuh dan kedudukan modal yang teguh, menyediakan asas yang mantap untuk fasa pembangunan Bank Islam yang seterusnya.

“Keutamaan kami adalah jelas - untuk menterjemahkan pertumbuhan ini kepada pendapatan yang lebih kukuh, kecekapan operasi yang lebih tinggi dan pulangan yang mampan.

“Kami menyedari pentingnya untuk meningkatkan keuntungan dan usaha kami tertumpu sepenuhnya kepada bidang yang berada dalam kawalan kami. Ini termasuk memperkukuh disiplin kos, meningkatkan kecekapan pendanaan, mempelbagaikan aliran pendapatan kami dan menambah baik produktiviti di seluruh kumpulan,” jelas beliau.

Beliau berkata dividen interim itu turut mencerminkan komitmen mereka dalam memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham di samping mengekalkan kekuatan dan fleksibiliti kewangan yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan di masa hadapan.

-- BERNAMA