BERITA TERKINI   Tiada kehilangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia dalam kejadian letupan peranti letupan buatan sendiri di Wilayah Narathiwat - Wisma Putra | BN tidak akan mencampuri urusan institusi Raja, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Permintaan jalan penghubung luar bandar di Sabah, Sarawak akan dipertimbangkan dalam Bajet 2027 - Ahmad Zahid | Keutamaan BN ialah penyatuan kepimpinan dan ahli hadapi PRN Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | 25,000 individu bakal terima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI - PM Anwar | 

Kerajaan Berusaha Panjangkan Jaminan Bekalan Minyak Negara - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang berusaha memanjangkan jaminan bekalan minyak negara serta memastikan bekalan dalam negara kekal stabil susulan konflik yang berlaku di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai bekalan minyak kerana tindakan itu boleh memberi kesan negatif, terutamanya ketika ketegangan geopolitik di rantau berkenaan meningkat.

“Yang penting kita fokus kepada apa yang berada dalam kawalan kita, iaitu memastikan bekalan dalam negara mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pasca Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Ad Banner

Amir Hamzah berkata, seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia mempunyai bekalan minyak mencukupi sehingga Mei ini. Bagaimanapun, kerajaan tetap berusaha mendapatkan bekalan tambahan bagi menggantikan penggunaan semasa.

“Usaha mendapatkan bekalan baharu terus dijalankan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat minyak lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sentiasa memberi perhatian terhadap isu tersebut dan bersedia mengambil intervensi yang perlu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dari segi keprihatinan kerajaan, kita menolong melalui intervensi yang dibuat. Buat masa sekarang, kita menanggung bil subsidi yang sedikit lebih tinggi dan keadaan ini masih boleh bertahan,” katanya.

Menteri Kewangan II itu turut menjelaskan tempoh konflik di Asia Barat sukar dijangka, justeru kerajaan mengambil langkah perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Dalam masa sama, beliau berkata kestabilan ekonomi negara memberi peluang untuk Malaysia terus merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Jika ekonomi di sini masih kukuh, ia memberi peluang Malaysia menjadi lebih stabil berbanding tempat lain,” katanya.

Mesyuarat Khas Jemaah Menteri diadakan bagi meneliti kedudukan fiskal negara serta memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran susulan konflik di Asia Barat.

Krisis bermula pada 28 Feb apabila Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran, menyebabkan Iran bertindak balas menyerang kepentingan AS di rantau itu.

Kini, Iran turut mewajibkan kapal tangki yang melalui Selat Hormuz, laluan utama tenaga global, mendapatkan kelulusan daripada negara itu dan berikrar tidak membenarkan kapal tangki AS dan sekutunya melalui laluan berkenaan.

-- BERNAMA