BProperty Sasar Pegangan Projek Koridor Maritim Perlis Menerusi Langganan Saham RM58 Juta
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Berjaya Property Bhd (BProperty) berhasrat untuk menyertai projek Koridor Maritim Perlis (PMC) dengan melanggan 29 peratus kepentingan ekuiti dalam Manjaran Sdn Bhd (Manjaran) bernilai RM58 juta.
Menurut kumpulan terpelbagai itu, ia telah memeterai perjanjian bersyarat bagi cadangan langganan 2.32 juta saham baharu dalam Manjaran, iaitu anak syarikat 80 peratus miliknya, Mutiara Perlis Sdn Bhd terlibat dalam pembangunan berterusan PMC.
PMC adalah pembangunan induk hab logistik bersepadu di Perlis yang terdiri daripada Pelabuhan Pedalaman Perlis, Perlis Sanglang Port dan Hab Kuasa Perlis.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, BProperty berkata pertimbangan langganan itu akan dipenuhi dengan RM57.9 juta melalui terbitan 206.78 juta saham biasa baharu dalam BProperty pada harga 28 sen setiap satu dan RM100,000 tunai yang akan dibiayai menerusi dana dalaman BProperty dan anak syarikatnya.
“Cadangan langganan tersebut menawarkan peluang kepada kumpulan itu untuk mendapatkan kepentingan dalam projek PMC dan menceburi sektor pelabuhan, logistik dan tenaga,” tambahnya.
Menurut BProperty, PMC bertujuan menjadi pintu masuk utama di utara bagi perdagangan serantau dengan mengintegrasikan kemudahan maritim laut dalam rangkaian rel yang meluas.
Katanya, cadangan langganan itu dijangka siap pada separuh kedua 2026.
-- BERNAMA