BERITA TERKINI   LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya - Fahmi | Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 10.7 peratus pada Ogos 2026 berbanding peningkatan 9.7 peratus pada Julai 2026 | PM Anwar arah KSN, PAT bantu pengurusan dan beri taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhum Tun Dr Siti Hasmah | Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan rayuan Ismanira Abdul Manaf bagi ketepi sabitan, hukuman penjara lima tahun kerana abai Zayn Rayyan Abdul Matin | 

MIDA-OCBC Malaysia Jalin Kerjasama Tarik Pelaburan Bernilai Tinggi

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Bhd, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menarik pelaburan mampan bernilai tinggi dari ASEAN, China, Korea Selatan dan Taiwan, di samping menyokong pembangunan ekosistem perniagaan tempatan.

Dalam kenyataan bersama hari ini, MIDA dan OCBC Malaysia memaklumkan kerjasama itu menggabungkan kepakaran MIDA dalam promosi dan pemudahcaraan pelaburan dengan keupayaan perbankan serta pembiayaan OCBC Malaysia dan rangkaian serantaunya yang luas.

“Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam aktiviti mendekati pasaran, misi pelaburan dan penglibatan industri, berkongsi prospek pelabur serta maklumat pasaran, selain melaksanakan inisiatif perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti serta aktiviti promosi bersama untuk mengetengahkan kelebihan Malaysia kepada bakal pelabur.

Ad Banner

“Kedua-dua pihak juga akan memudah cara kerjasama strategik dan peluang pemadanan perniagaan antara pelabur utama dengan perusahaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, OCBC Malaysia turut menyediakan penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan dengan keperluan, dengan memanfaatkan ekosistem kumpulan OCBC yang lebih luas bagi menyokong pelaburan, pembangunan kapasiti dan pertumbuhan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata usaha menarik pelaburan berkualiti hanyalah sebahagian daripada persamaan, manakala nilai jangka panjang yang diwujudkan untuk perniagaan dan bakat tempatan merupakan ukuran sebenar kejayaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Melalui kerjasama dengan OCBC Malaysia ini, kami dapat mendekati pelabur lebih awal, menghubungkan mereka dengan rakan kongsi tempatan yang tepat serta memanfaatkan rangkaian serantau OCBC untuk mengetengahkan kekuatan Malaysia kepada pasaran pertumbuhan utama,” katanya.

Sikh Shamsul berkata kerjasama itu bertujuan menarik pelaburan dalam sektor bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), termasuk pembuatan termaju dan tenaga boleh baharu.

Pada masa sama, kerjasama itu turut membantu syarikat tempatan membangunkan keupayaan kewangan, teknikal serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diperlukan untuk menyertai rantaian bekalan serantau dan global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank (Malaysia) Bhd Tan Chor Sen berkata bank itu akan memanfaatkan platform OCBC One Connect dan rangkaian serantaunya untuk mengetengahkan peluang pelaburan di Malaysia kepada kumpulan pelabur yang lebih luas dari ASEAN, China, Korea Selatan dan Taiwan.

“Yang sama penting ialah memastikan pelaburan ini memberikan manfaat ekonomi yang bermakna dan berkekalan dengan membolehkan syarikat Malaysia mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam peluang yang diwujudkannya, sama ada melalui kerjasama perniagaan strategik atau integrasi ke dalam rantaian bekalan global dan serantau,” katanya.

-- BERNAMA