Pelajar UKM Laksana Projek Berasaskan Komuniti, Bantu Jana Pendapatan Komuniti Orang Asli
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) – Aktiviti penanaman terung memberi peluang kepada sekumpulan pelajar perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengaplikasikan ilmu pengurusan ekonomi yang dipelajari di dewan kuliah, sekali gus membantu komuniti Orang Asli di Bukit Lagong, Selayang, menambah pendapatan mereka.
Kira-kira 70 peratus daripada hasil daripada aktiviti itu disalurkan kepada komuniti yang menetap di Selayang, Selangor dan baki 30 peratus disumbangkan bagi menyelenggara Rumah Anak Yatim Hidayah Al-Hijrah (RAYDHA) yang berada di kawasan yang sama.
Semuanya adalah hasil daripada program perusahaan sosial berasaskan komuniti yang dilaksanakan oleh pelajar terlibat.
Program itu merupakan inisiatif pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Sekolah Siswazah Perniagaan UKM dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Treat Every Environment Special (TrEES), iaitu pertubuhan bukan kerajaan yang mempromosikan gaya hidup lestari alam sekitar di Malaysia.
“Ia adalah situasi yang saling menguntungkan kerana kami bukan sahaja memulakan projek pertanian malah turut membina model perniagaan yang menghubungkan komuniti menerusi pelbagai aspek keusahawanan, pendidikan dan kebajikan, berteraskan konsep ‘nilai bersama’,” kata ketua ‘Pasukan Lestari’ Mohd Khairuzzaman Kamaruddin, yang menjalankan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut.
“Menerusi strategi perniagaan ini, kedua-dua perusahaan yang dimulakan oleh pelajar dan komuniti Orang Asli akan memperoleh manfaatnya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau berkata projek penanaman terung itu bukan sahaja memberi peluang kepada Orang Asli Bukit Lagong untuk meneroka bidang baharu bagi menjana pendapatan menerusi pertanian, malah turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan prinsip pengurusan ekonomi yang dipelajari dalam program MBA ke dalam perniagaan sebenar.
“Apa yang kami telah mulakan bukan sekadar projek penanaman terung tetapi satu perniagaan yang menghubungkan komuniti di sini dengan keusahawanan, pendidikan dan kebajikan sosial menerusi konsep nilai bersama,” katanya.
Prinsip ekonomi yang diterapkan dalam projek itu termasuk kemahiran dalam perancangan projek, pengurusan pihak berkepentingan, kewangan, kepimpinan, selain pengurusan risiko dan komunikasi sepanjang pelaksanaan projek tersebut.
“Bagi penduduk pula, mereka terlibat secara aktif dalam penyediaan kawasan tanah bagi penanaman, kerja-kerja menanam dan penyelenggaraan tanaman serta penuaian,” katanya sambil menambah bahawa TrEES berperanan sebagai penyelaras dan menyediakan bantuan teknikal.
Model ekonomi dengan nilai bersama itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi yang diperoleh oleh komuniti Orang Asli turut dinikmati oleh penduduk lain di kawasan tersebut.
Sementara itu, TNB menerusi Pejabat Sokongan Perniagaan (BSO) di Selangor, menyumbang sebanyak RM10,000 bagi pelaksanaan projek itu, termasuk membekalkan peralatan pertanian, bahan tanaman, penyelarasan operasi dan menyediakan sokongan sumber manusia.
Program tersebut berjaya memberi peluang kepada pelajar MBA-UKM-GSB mengaplikasikan prinsip ekonomi, sekali gus membuktikan kemahiran pengurusan secara berkesan di luar bilik kuliah, dengan pelaksanaan program pemerkasaan sosioekonomi untuk masyarakat.
-- BERNAMA