BERITA TERKINI   Rasuah masalah sistemik, perlu terus dibanteras dengan tegas - PM Anwar | PM Anwar tegaskan kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan agar rakyat tidak terbeban | PM Anwar setuju cadangan masukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bantu pelajar urus tekanan | Kerajaan akan kaji cadangan penubuhan dana kekayaan AI untuk manfaat rakyat Malaysia - PM Anwar | PM Anwar jamin hak penduduk asal terus dipertahankan menerusi RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) | 

374 Syarikat PkS Dan Pertengahan Terima Manfaat NIDF Setakat Oktober 2026

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak 374 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan tempatan merentasi pelbagai sektor industri menerima manfaat daripada pelaksanaan projek di bawah Dana Pembangunan Industri Baharu (NIDF) setakat Oktober 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan NIDF merupakan instrumen pemboleh daya yang menterjemahkan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) kepada tindakan di peringkat syarikat bagi menyokong agenda Made by Malaysia.

“Sokongan ini merangkumi usaha meningkatkan keupayaan teknologi, memperkukuh kapasiti pengeluaran, menggalakkan inovasi serta membangunkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ad Banner

Kenyataan MITI itu bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai status pelaksanaan agenda Made by Malaysia, khususnya usaha membangunkan produk berteknologi tinggi yang memiliki reka bentuk, teknologi dan harta intelek tempatan.

Beliau turut meminta maklumat mengenai jumlah syarikat tempatan yang berjaya menghasilkan produk dengan harta intelek sendiri serta nilai eksport yang dijana.

Menurut MITI, inisiatif itu turut membantu syarikat tempatan meningkatkan daya saing, memperluas peluang perniagaan dan memperkukuh penyertaan dalam rantaian nilai domestik serta global.

Ad Banner
Ad Banner

Usaha itu sekali gus menyokong peralihan syarikat tempatan daripada sekadar pengeluar kepada pemilik reka bentuk, teknologi dan jenama, selaras dengan Misi 1 NIMP 2030 serta agenda Made by Malaysia.

Antara program utama yang dilaksanakan dengan sokongan dana itu ialah Program Smart Tech Up (STU), Smart Factory Excellence and Recognition (SFERE), Program MyChipStart serta projek Smart Manufacturing Aspirations with Revolutionary Technology (SMART 2030).

-- BERNAMA