BERITA TERKINI   Rasuah masalah sistemik, perlu terus dibanteras dengan tegas - PM Anwar | PM Anwar tegaskan kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan agar rakyat tidak terbeban | PM Anwar setuju cadangan masukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bantu pelajar urus tekanan | Kerajaan akan kaji cadangan penubuhan dana kekayaan AI untuk manfaat rakyat Malaysia - PM Anwar | PM Anwar jamin hak penduduk asal terus dipertahankan menerusi RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) | 

Teknologi MPOB Perlu Dimanfaatkan Lebih Ramai Pekebun Kecil – Noraini

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Lebih ramai pekebun kecil perlu mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi industri sawit bagi meningkatkan produktiviti, pendapatan dan taraf kehidupan mereka, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu terus mendekati pekebun kecil di lapangan bagi memahami cabaran yang dihadapi serta menyediakan penyelesaian praktikal mengikut keperluan mereka.

“Apa yang kita tidak mahu ialah teknologi kita semakin maju, tetapi pekebun kecil kita masih ketinggalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2026 di sini malam ini.

Ad Banner

Noraini berkata peningkatan produktiviti amat bermakna kepada pekebun kecil kerana bukan sahaja dapat menambah hasil, malah membolehkan mereka membiayai pendidikan anak-anak serta meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

Sementara itu, beliau berkata MPOB menerusi kerangka strategik PALMS 2030 memberikan tumpuan kepada lima teras utama, iaitu produktiviti, automasi, rendah karbon, kebolehpasaran dan kemampanan.

Beliau berkata peningkatan hasil perlu dicapai tanpa terlalu bergantung kepada peluasan kawasan tanaman, selain mempercepat penggunaan mekanisasi, robotik, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan industri.

Ad Banner
Ad Banner

“Pendekatan ini juga penting untuk menarik minat generasi muda agar mereka melihat industri sawit sebagai industri moden yang menawarkan peluang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan keusahawanan,” katanya.

Noraini berkata usaha mengurangkan pelepasan karbon, memanfaatkan biojisim serta memperluas pembangunan produk hiliran bernilai tinggi juga perlu terus dipergiat.

“Malaysia bukan sahaja perlu dikenali sebagai pengeluar minyak sawit berkualiti, tetapi juga sebagai pengeluar ilmu, teknologi dan penyelesaian kepada industri sawit dunia,” katanya.

-- BERNAMA