Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) penanda aras di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu, dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai paras inventori domestik yang tinggi serta permintaan eksport yang rendah, menurut seorang peniaga.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kebimbangan berterusan terhadap paras stok yang tinggi di Malaysia terus menjejaskan sentimen pasaran.
“Bagaimanapun, aktiviti pembelian pada harga rendah susulan kemerosotan mendadak baru-baru ini telah membantu mengurangkan penurunan tersebut.
“Kami melihat paras sokongan terdekat berada sekitar RM4,080 satu tan metrik, manakala paras rintangan pula pada RM4,250 setan metrik,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata hala tuju pasaran kekal sensitif terhadap pergerakan harga minyak kacang soya dan minyak mentah.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Disember 2026 susut RM8 kepada RM4,048 satu tan, Januari 2027 merosot RM15 kepada RM4,135 setan, Februari 2027 berkurangan RM11 kepada RM4,229 satu tan dan Mac 2027 menguncup RM2 kepada RM4,319 setan.
Bagaimanapun, April 2027 naik RM2 kepada RM4,394 satu tan dan Mei 2027 menambah RM1 kepada RM4,440 setan.
Jumlah dagangan menurun kepada 110,585 lot berbanding 145,466 lot sebelum ini manakala kepentingan terbuka menokok kepada 334,109 daripada 333,038 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan susut RM5 kepada RM4,060 satu tan.
-- BERNAMA