Contohi Kejayaan Farm Fresh Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kejayaan Farm Fresh Bhd, yang menerima sokongan modal awal daripada Khazanah Nasional Bhd dijadikan contoh dalam memacu perkembangan syarikat yang berpotensi bagi memastikan kemampanan industri makanan negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan menyokong syarikat berpotensi tinggi pada peringkat awal sebelum beralih kepada entiti baharu apabila perniagaan mencapai kematangan dan kejayaan wajar dijadikan rujukan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Kita berbangga dengan Farm Fresh kerana bukan sahaja ada di sini, malah telah berkembang ke beberapa negara lain.
“Kita juga mencatat kejayaan dari segi pengeluaran produk makanan dan dapat mengawal harga dengan cepat serta menjana hasil melalui eksport dan pelaburan di luar negara,” kata beliau pada program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: "Di Sebalik Keputusan.." yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Beliau menjawab soalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal mengenai pendekatan kerajaan dalam mengimbangi langkah melindungi pengguna dan menyokong daya maju pengeluar makanan ketika menghadapi peningkatan kos pengeluaran akibat ketidaktentuan global.
Anwar berkata industri makanan dan pertanian negara berdepan tekanan yang besar akibat ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat serta perang Rusia–Ukraine.
Katanya situasi berkenaan menyaksikan kos pengangkutan perkapalan melonjak sehingga 10 kali ganda, sekali gus menaikkan kos input import seperti fosfat yang melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz.
“Semua negara di Asia, malah di Eropah kini menghadapi ketegangan politik dan sosial akibat kenaikan harga barang. Ini sebahagiannya kerana dasar fiskal negara (masing-masing) dan sebahagian lagi kerana kenaikan harga barangan import,” kata beliau.
Justeru, katanya bagi mengimbangi kebajikan pengguna dan daya maju pengeluar, kelemahan klasik dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu ditangani secara lebih agresif oleh agensi berkaitan menerusi akses modal awal seperti Agrobank.
Beliau berkata tumpuan juga perlu diberikan kepada peningkatan hasil pengeluaran melalui bekalan input yang mencukupi termasuk baja, selain pembaharuan infrastruktur pemasaran.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa penyaluran dana dalam jumlah besar perlu disertai tatakelola yang tegas bagi membanteras ketirisan dan budaya pemberian komisen.
“Tatakelola jangan diabaikan kerana ketirisan dana yang keterlaluan, apabila keadaan agak sistemik buruk, apabila diambil tindakan, reaksinya amat berat dan kemarahannya meluas sebab mereka selesa dengan (menerima) komisen,” kata beliau.
-- BERNAMA