Kerajaan Teliti Langkah Bendung Jualan Produk Import Tidak Bersijil Dalam Talian - Johari
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti langkah bagi menangani penjualan produk import tanpa pensijilan melalui platform e-dagang, termasuk kemungkinan tindakan terhadap platform yang gagal memastikan pematuhan standard kualiti.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan produk yang dijual dalam talian memenuhi standard yang ditetapkan.
"Produk yang dibawa masuk dari luar negara kebanyakannya dihantar dalam bentuk bungkusan. Walaupun dijual pada harga murah, produk-produk ini tidak mempunyai pensijilan kualiti, termasuk barangan elektrik yang sepatutnya memenuhi standard keselamatan.
“Jadi, saya telah berbincang dengan KPDN serta pihak berkaitan untuk mencari jalan bagaimana kita boleh mengawal operasi platform e-dagang, dalam masa sama terus menggalakkan rakyat membeli barangan secara dalam talian," katanya kepada pemberita selepas Majlis SIRIM Industri 2026 di sini, hari ini.
Johari berkata usaha itu penting bagi melindungi pengguna daripada produk tidak berkualiti atau berbahaya, selain memastikan pengeluar tempatan yang menanggung kos pensijilan tidak berdepan persaingan tidak adil daripada produk import yang dijual pada harga lebih murah.
Sementara itu, dalam ucapannya, Johari berkata produk memasuki pasaran Malaysia mesti mematuhi piawaian Malaysia dan antarabangsa, sama seperti barangan keluaran tempatan yang tertakluk kepada keperluan kawal selia yang ketat.
"Sehubungan itu, Malaysia kekal komited untuk menangani isu pengimportan dan penjualan produk yang tidak mematuhi piawaian dalam pasaran domestik kita.
"Produk-produk ini bukan sahaja mendedahkan pengguna di Malaysia kepada risiko kesihatan dan keselamatan malah turut menjejaskan daya saing industri tempatan kita," katanya.
Majlis SIRIM Industri 2026 menyaksikan SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd, menjadi badan pensijilan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menerima akreditasi bagi piawaian AS9110, Keperluan Sistem Pengurusan Kualiti untuk Organisasi Penyelenggaraan Penerbangan.
AS9110 merupakan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan, ia merangkumi aspek-aspek kritikal seperti kelayakan udara dan keselamatan penerbangan, perancangan serta pelaksanaan penyelenggaraan, pemeriksaan dan pengujian, pengurusan risiko, faktor manusia, kebolehkesanan dan kawalan data teknikal.
-- BERNAMA